SETIAUSAHA Agung  Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika berucap pada sesi sembang santai di Juasseh. FOTO Azrul Edham
SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika berucap pada sesi sembang santai di Juasseh. FOTO Azrul Edham
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Pilah: Perikatan Nasional (PN) menyatakan semua calon di Negeri Sembilan yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini layak untuk menjadi Menteri Besar.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, disebabkan itu pihaknya tidak mahu mengumumkan calonnya.

"Mereka semua adalah calon yang layak, bukan hanya menjadi wakil di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) itu sendiri tetapi juga layak menjadi pemimpin terbesar dalam Negeri Sembilan.

"Pada hari ini tak payahlah kita nak umumkan sesiapa. Insya-Allah kita sudah membincang perkara ini bersama pimpinan di atas," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi sembang santai di Juasseh hari ini.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Eddin Syazlee Shith sebelum ini dilapor menyifatkan beliau tidak pernah terfikir untuk dicalonkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya PN menang dalam PRN 12 Ogos ini.

Calon bagi Dun Juasseh itu berkata, perkara tersebut bukan keutamaannya buat masa ini, sebaliknya apa yang perlu adalah mereka melepasi halangan pertama.

Mengulas mengenai adakah PN akan mengikut jejak langkah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk mengisytihar harta, Hamzah berkata, gabungan itu belum membuat satu keputusan mengenainya.

"Buat masa ini kita tidak buat satu keputusan untuk isytihar harta calon-calon kita.

"Tunggulah selepas menang nanti boleh kita lakukan kalau ia diperlukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah memaklumkan PN akan menentukan siapa calon yang akan mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram, Johor pada 9 September nanti.

Bagaimanapun katanya, agenda mesyuarat mengenai perkara itu belum ditentukan lagi.

"Insya-Allah memang kita bermesyuarat setiap minggu. Tapi agenda yang ini belum kita pastikan lagi," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram, Johor pada 9 September.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 11:48 PM