Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Rembau: Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berpandangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias wajar dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) menang lebih kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH).

Katanya, mengikut kiraan matematik, tidak sewajarnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dilantik ke jawatan itu kerana PH memenangi kurang kerusi.

"Siapa yang dapat lebih (kerusi) jadi Menteri Besar. Datuk Seri Jalaluddin Alias adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan.

"Walaupun dia Ahli Parlimen, dia tak pegang jawatan di pusat. Jadi kalau BN (menang) lebih kerusi daripada PH dan PH-BN menang di Negeri Sembilan, Jalal lah angkat sumpah Menteri Besar," katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim.

Sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan Aminuddin wajar dikekalkan sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan PH dan BN memenangi PRN.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, ini kerana Aminuddin menunjukkan prestasi yang memuaskan ketika memimpin Negeri Sembilan dan banyak melaksanakan usaha membantu penduduk dengan pelbagai program.

Bagaimanapun, Jalaluddin baru-baru ini berkata, kesemua 18 calon lelaki daripada 36 kerusi Dun Negeri Sembilan yang ditandingi gabungan BN dan PH PH layak untuk menjadi calon Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kenyataan dibuatnya itu adalah dari segi keadilan dan perkiraan.

Beliau turut berpandangan akan timbul masalah sekiranya nama yang dihantar kepada Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah nama Aminuddin.

"Tidak adil. Dia mesti Umno. Kalau dihantar nama Aminuddin dan bukan Jalaluddin dalam keadaan Umno menang lebih, bermakna Umno lemah," katanya.

Pada PRN ini ini BN bertanding di 17 kerusi manakala PH 19 kerusi yang mana DAP (11), PKR (enam) dan Amanah (dua).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 1:03 PM