GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) antara universiti yang 'terjejas' dengan penetapan tarikh pengundian pada 12 Ogos oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ini kerana, UUM memulakan peperiksaan bermula hujung bulan ini sehingga pertengahan Ogos depan, manakala UMP mengadakan pengambilan baru bagi pengajian peringkat diploma universiti itu ketika PRN berlangsung.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman berkata, tarikh tarikh pengundian pada 12 Ogos itu berlangsung pada musim peperiksaan.

"Penuntut UUM mula mengambil peperiksaan pada 31 Julai ini dan akan tamat pada 20 Ogos hadapan.

"Bagi saya (ia) memang mengganggu kerana (tarikh pengundian) jatuh pada tarikh peperiksaan. Banyak yang kita patut ubah sebab jadual peperiksaan sudah keluar," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Semalam, SPR menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN di enam negeri, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.

Muhammad Izuan berkata, pihaknya mencadangkan supaya pihak universiti meminda jadual peperiksaan bagi membolehkan penuntut yang mengundi di enam negeri itu untuk pulang mengundi.

"Saya cadangkan diawalkan jadual peperiksaan. Apa-apa keputusan yang nak diambil seperti nak beri cuti, nak anjak ke depan, keutamaannya ialah tak boleh jejaskan penuntut.

"Kita tak nak menghalang penuntut menunaikan tanggungjawab tapi dalam masa sama kita tak nak jejaskan fokus peperiksaan," katanya.

Yang Dipertua MPP UMP Agha Khilfi Suarno pula berkata, tarikh 12 Ogos itu adalah minggu ketiga pengajian bagi kira-kira 800 pelajar ambilan diploma bagi universitinya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada universiti agar penuntut yang mengundi di enam negeri ini diberi pelepasan kuliah atau dibuat kelas ganti kerana pulang mengundi.

"Cadangan saya pelajar diploma ini diberi kelas ganti, atau pelepasan kuliah sebab ia tak membabitkan semua negeri, hanya enam negeri sahaja.

"Kalau membabitkan semua, tak adil kepada pensyarah dan kawan-kawan lain. Pelepasan ini diberikan kepada pelajar negeri yang terbabit mengundi sahaja.

"Perkara ini seterusnya dapat meningkatkan jumlah pengundian dan mereka dapat menunaikan tanggungjawab kepada negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 3:22 PM