GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad

Putrajaya: Penuntut universiti awam tiada halangan untuk menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini memandangkan kebanyakannya telah selesai menjalani peperiksaan akhir semester pada hari pengundian, 12 Ogos depan.

Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hanya Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengadakan peperiksaan pada Sabtu ketika hari mengundi.

Walau bagaimanapun bukan semua penuntut terlibat dan PRN ini hanya membabitkan enam negeri manakala selebihnya boleh meneruskan peperiksaan, katanya.

Katanya, KPT sudah berunding dengan pihak universiti dan mana-mana penuntut yang mengundi boleh menangguhkan peperiksaan dan memaklumkannya terlebih dahulu kepada universiti.

"Pelajar yang terlibat boleh menduduki peperiksaan pada hari lain kerana bagi pelajar dari Sabah dan Sarawak mereka sudah membeli tiket awal untuk pulang ke kampung mengikut kalender universiti yang dikeluarkansebelum ini," katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Pesefahaman Antara KPT, XoX Bhd dan VMR3 Sdn Bhd bagi Program Keusahawanan MYSiswa dan KPT dan Wawasan Jaya Elite Sdn Bhd Dalam Kebolehpasaran Graduan di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM Muhammad Izuan Faiz Abdul Rahman berkata, tarikh tarikh pengundian pada 12 Ogos itu mengganggu musim peperiksaan.

Mohamed Khaled berkata, bagi negeri yang tidak terbabit PRN, mereka tidak perlu mengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 3:40 PM