GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyifatkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang ditetapkan selama 14 hari seperti diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memadai.

Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, dengan tempoh berkempen selama 14 hari, ia akan menambah tekanan kepada pengundi pos khususnya Kategori 1B Pengundi Luar Negara untuk menghantar semula sampul undi pos mereka kepada pegawai pengurus sebelum hari pengundian tamat.

"Sejak PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14), kami menerima banyak aduan daripada pengundi pos bahawa mereka hanya menerima sampul undi pos hampir dengan hari pengundian atau selepas hari pengundian tamat.

"Tempoh kempen sepatutnya 21 hari minimum," kata jawatankuasa itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu SPR menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam PRN.

Enam negeri itu ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.

Abdul Ghani berkata, bagi tempoh berkempen, ia ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos.

Mengulas lanjut, jawatankuasa itu turut menggesa agar SPR untuk mereformasi sistem undi pos sepenuhnya sekiranya mereka tidak sanggup memanjangkan tempoh kempen.

"Mereka perlu membenarkan pengundi pos untuk memuat turun kertas undi dan dokumen lain yang diperlukan dalam format PDF untuk memansuhkan keperluan SPR untuk mengepos kertas kepada pengundi pos.

"Cara ini akan menghapuskan kesilapan pengkeranian yang biasa berlaku dengan proses menulis nombor siri dan memasukkan kertas undi pos secara manual. Ini juga akan menjimatkan kos pengurusan oleh SPR," katanya.

Jawatankuasa itu juga mengalu-alukan enam PRN ini dijalankan secara serentak.

"Kami percaya, jika tarikh pilihan raya tidak serentak, ini akan memanjangkan politiking dan menambah kekeliruan dan kelesuan kepada pengundi.

"Bersih menyeru semua pengundi di enam negeri ini untuk keluar mengundi kerana pilihan mereka akan memberi impak langsung kepada kualiti pentadbiran di persekitaran mereka kerana kerajaan negeri masih berkuasa melantik ahli majlis tempatan dan datuk bandar yang akan mentadbir majlis kerajaan tempatan," katanya.

#kw Kuala Lumpur, Bersih, PRN, SPR, kempen, undi pos

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 5:46 PM