AZLAN (kiri) bersama Nor Azizan Tarja (dua kanan) merasmikan Peraduan Ar Rahnu Persona Gold di Ibu Pejabat Pos Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
AZLAN (kiri) bersama Nor Azizan Tarja (dua kanan) merasmikan Peraduan Ar Rahnu Persona Gold di Ibu Pejabat Pos Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Hafiz Sohaimi
Nadia Hamid


POS Malaysia Bhd memberi jaminan akan menangani isu 'ketirisan' integriti kakitangannya dalam menguruskan undi pos di dalam dan luar negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Postal dan Kuriernya Datuk Azlan Shahrim berkata, pihaknya sedia memberikan jaminan perkhidmatan terbaik bagi memastikan undi berharga rakyat dapat disampaikan kepada Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri.

Katanya, ia sekali gus menepis dakwaan bahawa pihak berkenaan bersikap sambil lewa dalam menjalankan tugas berkhidmat kepada orang ramai.

“Ini (undi pos) bukan kali pertama diuruskan Pos Malaysia, tetapi kita sudah banyak pengalaman dan terbabit menguruskan undi pos pada PRU-13 dan PRU kecil lain.

“(Jadi) tidak timbul isu gagal dalam menjalankan perkhidmatan. Tugas Pos Malaysia adalah menghantar dan menerima kembali undi pos untuk diserahkan kepada SPR dengan selamat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Peraduan Pos ArRahnu Persona Gold di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Pos Malaysia Nor Azizan Tarja dan Ketua Pegawai Operasi Pos ArRahnu Abdul Razak Mohd A Kadir.

Sementara itu, Nor Azizan berkata, Pos Malaysia bekerjasama rapat dengan SPR untuk memastikan kelancaran pada hari pengundian termasuk melanjutkan waktu perkhidmatan Pos Malaysia sekiranya, hari mengundi jatuh pada hujung minggu atau cuti umum.

“Kita sudah adakan taklimat dan mesyuarat bersama SPR, beberapa bulan lalu dan semua pengurus negeri serta cawangan Pos Malaysia sudah diarahkan sedia bertugas pada bila-bila masa.

“Kita akan kerahkan lebih 2,000 kakitangan Pos Malaysia di seluruh negara untuk bertugas kali ini. Kita juga akan tambah kekerapan kutipan undi pos kepada dua kali sehari, pagi dan petang sehingga hari mengundi tamat,” katanya.

Ketika ditanya dakwaan pengundi pos menjadikan peti surat sebagai peti undi, bukan menghantar surat undi pos menyebabkan kertas undi tidak sampai pada PRU-13, Nor Azizan berkata, pengundi perlu mengikut prosedur lengkap ditetapkan SPR .

“Kami hanya hantar dan poskan kembali undi. Kandungan dalam surat tidak boleh dibuka. (Jadi) pengundi kena pastikan mereka menggunakan sampul surat yang diberikan SPR untuk mengelakkan undi mereka 'tercicir',” katanya.

Dalam pada itu, jumlah pengundi pos dijangka meningkat sekali ganda pada PRU-14 susulan kerajaan memberi kelonggaran kepada sembilan jabatan serta agensi yang layak mengundi pos.

Mereka adalah pengundi daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan (hospital dan klinik kerajaan sahaja) dan sukarelawan polis.

Turut terbabit ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar sahaja).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 8:19 PM