GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bentong: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai memasuki hari terakhir hari ini, dan esok adalah hari penentuan calon yang bakal dipilih 16,456 pengundi sebagai wakil rakyat baharu kawasan itu.

Parti-parti bertanding memanfaatkan minit akhir sehingga 11.59 malam ini dengan menganjurkan ceramah dan kempen kemuncak dalam usaha mempengaruhi pola pengundian.

PRK Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi Dun itu selepas penyandangnya Datuk Seri Johari Harun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, meninggal dunia dalam nahas pesawat yang terhempas di Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos lepas.

Bagi proses pengundian yang bermula 8 pagi hingga 6 petang esok, sebanyak sembilan pusat mengundi biasa membabitkan 30 saluran dibuka, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan daripada 16,456 pengundi itu, seramai 36 adalah anggota polis, manakala tiga lagi Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagaimanapun, PRK DUN Pelangai menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Oktober lepas, selepas SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

Bagi tiga calon yang bertanding, hanya Kasim yang akan mengundi esok iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Chemomoi, memandangkan Amizar dan Haslihelmy masing-masing pengundi di Dun Ketari, juga dalam Parlimen Bentong.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 8:46 AM