GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan sebanyak 103,197 kertas undi pos kepada yang berhak untuk mengundi secara pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata bagi PRN, sebanyak 102,070 kertas undi pos dikeluarkan terdiri daripada 87,666 untuk Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

"Sebanyak 7,972 undi pos bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara), 4,705 Kategori 1C (agensi dan organisasi) serta 1,727 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai jumlah kertas undi pos bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu, beliau berkata sebanyak 1,127 kertas undi pos dikeluarkan terdiri daripada 961 bagi Kategori 1A, 77 undi pos bagi Kategori 1B, Kategori 1C (71) dan PTH Luar Negara (18).

Beliau berkata pengeluaran kertas undi pos itu bermula pada 31 Julai lepas oleh petugas pilihan raya di kesemua 245 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding," katanya.

Ikmalrudin mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap serta betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dan segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sebelum 5 petang, 12 Ogos ini.

"Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.

SPR menetapkan hari pengundian PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 12 Ogos ini, manakala pengundian awal akan berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2023 @ 5:38 PM