Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Rafiqah Dahali


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak bercadang menyediakan kemudahan undi pos kepada pengundi luar kawasan yang berada di Semenanjung dan Sarawak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kelak.

Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata, undi pos dikekalkan untuk pengundi luar negara dengan SPR akan menggunakan khidmat kurier antarabangsa bagi penghantaran sampul undi.

Katanya, ini kerana terdapat pemberhentian sementara perkhidmatan mel dan bungkusan antarabangsa serta Perkhidmatan Mel Ekspres (EMS) Pos Malaysia ke semua destinasi antarabangsa kecuali Singapura sejak 3 Ogos lalu.

"Buat masa ini, SPR tidak bercadang untuk memberi kemudahan undi pos kepada pengundi yang berada di luar Sabah seperti di Sarawak atau Semenanjung Malaysia.

"Bagaimanapun, sebarang penambahbaikan hanya boleh dilakukan jika dan apabila ketelusan proses pemilihan dapat dikekalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Bersih menyarankan SPR memberi kemudahan undi pos kepada Pengundi Luar Kawasan (PLK) bagi pelaksanaan PRN Sabah, kelak.

Mengulas lanjut, Dr Azmi berkata, SPR akan terus berusaha menambah baik proses pengundian pos, selain daripada meneroka pilihan alternatif untuk PLK.

"SPR memberi perhatian yang sewajarnya di bawah pelan penambahbaikan dengan sebuah jawatankuasa dibentuk khusus untuk mengkaji isu ini.

"Ia proses yang tidak boleh tergesa-gesa dan apa-apa penambahbaikan mesti dilakukan dengan berhati-hati," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 11:06 AM