GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Pretty Abbyana Asis


Kuala Lumpur: Golongan muda yang bakal mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang berharap dapat memainkan peranan penting dan membuktikan suara mereka juga penting dalam menentukan pucuk pimpinan negeri.

Penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) Hawani Athirah Mohd Zainol Abidin, 23, berpendapat pengundi muda ketika ini sangat penting dalam menentukan kepemimpinan negeri yang diyakini dapat membawa perubahan lebih baik serta mampu melindungi kesejahteraan rakyat.

"Pada pendapat saya, pilihan anak muda akan menjadi representasi politik Malaysia dan memberi kesan yang besar kepada pemilihan kerajaan negeri kali ini.

"Pengundi belia Malaysia yang berusia 18 hingga 29 tahun adalah blok pemilih terbesar dalam kalangan lebih 20 juta rakyat Malaysia yang dijangka keluar mengundi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Kamalin Huda Azizan, 22, pula berharap PRN kali ini dapat memberikan mereka peluang memilih pemimpin yang peka kepada suara rakyat, terutama terhadap golongan muda.

"Mereka (pemimpin) harus peka dan prihatin terhadap kebajikan masyarakat. Saya mahu (memilih) pemimpin yang mengambil berat dan menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

Kamalin berkata, rata-rata golongan muda semakin bijak menentukan pemimpin pilihan mereka, terutama menerusi maklumat yang diperoleh di platform media untuk mengetahui isu politik yang semasa negara.

"Saya biasanya akan tahu sesuatu isu politik itu melalui Twitter. Contohnya, seperti isu pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) membabitkan masalah bantuan e-Belia baru-baru ini, banyak lagi maklumat berkaitan isu semasa yang dapat kami ketahui dengan adanya media sosial ini.

"Ini akan mempengaruhi undian pengundi muda kerana sekiranya mereka peka akan isu-isu politik ini, ia mampu untuk menentukan pemimpin mana yang boleh dipercayai," katanya.

Sementara itu, pembantu Klinik, Nur Farah Ain, 20, berkata, dia tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi dalam PRN kali ini.

Nur Farah mengakui teruja kerana ini kali pertama dia keluar mengundi.

"Saya harapkan pemilihan kerajaan negeri baharu (menerusi PRN) ini mampu membawa sesuatu pembaharuan yang lebih baik serta memperjuangkan hak rakyat," katanya yang yang bakal mengundi di Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 5:31 PM