Pusat pembuangan undi bagi DUN Air Putih di Dewan JKKK Bukit Bendera, Jalan Bukit Bendera,  lengang sejak jam 11.30 pagi. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Pusat pembuangan undi bagi DUN Air Putih di Dewan JKKK Bukit Bendera, Jalan Bukit Bendera, lengang sejak jam 11.30 pagi. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Peratusan keluar mengundi yang rendah sehingga jam 2 petang tadi, di enam negeri berpunca ramai pengundi tidak pulang ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia ekoran hari pengundian PRN diadakan pada pertengahan bulan selain tiada cuti tambahan khususnya bagi warga Kuala Lumpur.

"Untuk pulang ke kampung mengundi, ia memerlukan kos tambang tiket atau petrol selain tol. Bagi yang sudah berkeluarga, pasti kos akan berganda.

"Faktor tiada cuti khas ( hanya untuk negeri tertentu sahaja) juga menyebabkan ramai pengundi luar mengambil keputusan tidak pulang mengundi pada PRN semalam.

"Selain itu, pengundi muda juga berpandangan sebarang keputusan pada PRN kali ini tidak akan mengubah kerajaan persekutuan sedia ada. Jadi mereka memilih tidak pulang mengundi," katanya kepada Harian Metro. Sementara itu, Felow Kanan Majlis Profesor Negara yang juga penganalisis politik, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, pengundi luar tidak ghairah untuk pulang ke kampung menunaikan tanggungjawab disebabkan masih dalam 'mood' pasca Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, rakyat juga sudah bosan apabila terlalu banyak 'politiking' pada kempen PRN apabila pemimpin politik atau calon saling menyerang dan menyentuh isu peribadi.

"Apa yang rakyat mahukan ketika ini adalah kerajaan membantu mereka terutama dalam bidang ekonomi dan mengurangkan kos sara hidup yang semakin membebankan, bukannya terus-terusan berpolitik.

"Jadi untuk mendapat sasaran keluar mengundi sebanyak 85 peratus mungkin sukar. Dijangkakan peratusan pengundi pada PRN kali ini paling tinggi hanya sekitar 75 peratus sahaja. Itupun jika pengundi muda menunaikan tanggungjawab mereka. Undi golongan berkenaan boleh membantu kemenangan parti bertanding pada PRN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Ogos 2023 @ 3:43 PM