Hasni Mohammad.
Hasni Mohammad.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Barisan Nasional (BN) Johor yakin mampu menarik perhatian pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, lebih 150,000 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun di negeri ini pada PRN dan ia menjadi pengalaman pertama mengundi bagi mereka.

"Kita akan susun langkah untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi muda dan BN sudah menggerakkan jentera untuk mendekati golongan berkenaan dan yakin berupaya mendapat sokongan mereka.

"Seperti parti lain, kita perlu susun gerak kerja dan menggerakkan jentera diketuai orang muda untuk mendapatkan sokongan pengundi muda.

"Kita juga akan menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendekati golongan berkenaan," katanya yang juga Pengerusi Umno Johor.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor R Vidyananthan.

Sementara itu, Hasni berkata, manifesto bukan faktor utama yang menentukan kemenangan dalam pilihan raya sebaliknya manfaat yang dapat diberi kepada rakyat adalah lebih utama.

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 rakyat dijanjikan pelbagai perkara dalam manifesto pembangkang tetapi akhirnya tidak ditunaikan.

"BN sebaliknya, manifesto atau janji dibuat adalah satu responsible outline yang dibentuk supaya rakyat faham hala tuju kerajaan dan bagaimana kerajaan negeri akan bela masa depan rakyat.

"Oleh itu, saya tidak rasa manifesto adalah kunci utama untuk menang pilihan raya lagi kerana apa yang penting adalah hala tuju kerajaan negeri yang hendak dibawakan sesebuah parti terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 9:36 PM