FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Pada Sabtu ini, seramai lebih 9.77 juta pengundi akan melunaskan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri untuk memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2.92 juta pengundi terdiri daripada golongan muda berusia antara 18 hingga 29 tahun.

Selangor menjadi negeri mempunyai jumlah pengundi muda tertinggi iaitu seramai 1.12 juta membabitkan 274,194 berusia 18 tahun hingga 20 tahun, manakala berusia 21 tahun hingga 29 tahun pula seramai 851,180.

Ia disusuli Kedah dengan 550,468 dengan pengundi berusia 18 hingga 20 tahun (194,284) dan 21 tahun hingga 29 tahun (356,184), Kelantan (427,071) yang berusia 18 tahun hingga 20 tahun (96,513), manakala berusia 21 tahun hingga 29 tahun (330,558).

Di Pulau Pinang pula terdapat seramai 298,471 pengundi muda dan yang berusia 18 hingga 20 tahun adalah seramai 67,633 orang dan pengundi berusia 21 tahun hingga 29 tahun (230,838), Terengganu (282,678) dengan 18 tahun hingga 20 tahun (64,264) dan 21 tahun hingga 29 tahun (218,414), manakala Negeri Sembilan (236,963) dengan 18 tahun hingga 20 tahun (55,017) dan 21 tahun hingga 29 tahun (181,946).

Apa menjadi kebimbangan ketika ini, biarpun sudah layak mengundi, adakah golongan itu akan keluar mengundi atau masih di atas pagar, tidak membuang undi kerana tidak tahu memilih figura yang tepat mewakili suara mereka.

Rata-rata pengundi muda yang ditemu bual sebelum ini mengatakan mereka mahu pemimpin dan wakil rakyat yang tidak hanya menabur 'omong' kosong'.

Ada yang berpandangan, orang muda tidak melihat kepada parti semata-mata sebaliknya mementingkan calon kerana pada hemat mereka jika calon dipilih tidak perform, mereka memilih calon lain pada pilihan raya akan datang.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, beliau berpandangan pengundi muda berusia 18 hingga 29 tahun pada PRN di enam negeri kali ini lebih matang kerana mereka juga pernah mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun lalu.

Menurutnya, pengalaman dan tempoh antara PRU15 untuk Parlimen dan PRN kali ini menjadikan golongan muda lebih 'celik' politik dan matang untuk mengundi berdasarkan kepada pemilihan calon dan parti.

Katanya, golongan berkenaan juga semakin mahir memilih sumber maklumat, sekali gus membuat perbandingan daripada media sosial, pergaulan dengan rakan dan pengaruh keluarga.

"(Bagaimanapun) saya tidak menilai mereka sebagai king maker tetapi mereka ini wild voter yang tidak minat berparti, tidak suka terikat dengan pemimpin dan lebih suka membuat keputusan berdasarkan kepentingan yang memberi kelebihan dan manfaat kepada mereka sendiri.

"Jika kepentingan mereka diusik dan mereka menilai pemimpin politik memperkecilkan kebijaksanaan pemikiran mereka dengan menipu, cakap tidak serupa bikin maka mereka akan menghukum pemimpin dan parti berkenaan dalam pilihan raya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dr Mohammad Tawfik, pengundi muda mahukan perubahan sebenar dan tidak memperolok-olokkan mereka selain mahu kualiti hidup yang bermutu seperti peluang kerja yang mudah dan stabil serta kos sara hidup yang rendah.

"Paling dimahukan mereka ialah pemimpin yang boleh membela kehidupan mereka serta tidak menipu, bohong dan pemimpin yang boleh menjadi contoh kepada mereka, bukan yang terpekik dalam Parlimen (selain) turun kerap bertemu rakyat dan sering menyuarakan nasib mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 12:00 PM