MOHD Shuhaily ketika sidang media mengenai Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang. FOTO Bernama
MOHD Shuhaily ketika sidang media mengenai Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang. FOTO Bernama
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis belum menerima permohonan rasmi daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur bagi mengesan suami pelakon Fatin Afeefa, Aliff Awang atau Opai bagi membantu siasatan.

Difahamkan sehingga kini, Opai belum hadir ke Pejabat JPJ untuk dirakam keterangan selepas menggunakan nombor pendaftaran 'QPA1' yang bukan didaftarkan di atas kereta McLaren miliknya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, beliau ada dimaklumkan oleh Timbalan Pengarah JPJ Kuala Lumpur Erick Jusiang secara lisan mengenai perkara itu, baru-baru ini.

"Beliau (Erick) ada memaklumkan perkara itu kepada saya, namun setakat ini, belum ada permohonan rasmi dibuat.

"Apabila kita sudah menerima permohonan itu, pihak polis akan memanggil individu berkenaan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Op Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan JPJ akan meminta bantuan polis bagi mengesan Opai untuk membantu siasatan selepas lelaki terbabit masih belum hadir dalam tempoh 14 hari ke pejabat JPJ meskipun notis panggilan temu siasat sudah diserahkan.

Erick dipetik berkata, individu terbabit masih berada di Kuala Lumpur dan dianggap seperti mencabar JPJ kerana tidak datang untuk dirakam percakapan.

Sebelum ini, suami kepada seorang pelakon wanita dikecam teruk selepas videonya didakwa menghina kenderaan bukan supercar pada sebuah acara pertunjukan kereta tular di media sosial, baru-baru ini,

Harian Metro melaporkan, JPJ Kuala Lumpur menggesa pemilik kenderaan mewah McLaren yang tular berkenaan tampil membuat laporan.

Susulan itu, lelaki terbabit memuat naik satu klip video menafikan dakwaan dia dipanggil pihak berkuasa berhubung kejadian tular itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 1:03 PM