Pelakon, Fatin Afeefa ketika pelancaran produk L Soulle di Sunway Velocity. FOTO AZIAH AZMEE
Pelakon, Fatin Afeefa ketika pelancaran produk L Soulle di Sunway Velocity. FOTO AZIAH AZMEE
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Fatin Afeefa, 30, membuat keputusan meninggalkan bidang lakonan dan nyanyian atas permintaan suaminya, Aliff Awang atau Opai dan mahu fokus menjadi wanita Islam yang lebih baik.

Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin berkata, dia menghormati permintaan suaminya itu.

"Dia kata sebab semua itu (berlakon dan menyanyi) adalah aurat. Namun, saya cuba untuk perbaiki diri dan menjadi seorang wanita Islam yang lebih baik. Suami kata suara itu aurat dan saya cuba belajar untuk kurangkan semua itu.

"Macam berlakon, semua sedia maklum kebanyakan akan secara bebas. Apabila saya fikir semula betul juga. Dulu masa saya berlakon pun bergaul dan bebas, ada laki orang, bini orang. Saya tidak mahu lagi berada di situasi itu lagi. Fokus sekarang keluarga saja," katanya.

Walaupun akan meninggalkan bidang itu, namun Fatin meminta suaminya memberi sedikit kelonggaran untuk dia membuat beberapa kempen-kempen tertentu.

"Maklumlah saya sudah terbiasa bekerja. Saya hanya keluar sebulan sekali bekerja dan dia bersetuju," katanya.

Ditanya sama ada dia berasa ralat meninggalkan lakonan dan nyanyian, Fatin berkata, ketika ini dia lebih suka duduk di rumah.

'Tak tahu macam mana nak jelaskan, tapi rasa tenang saja perasaan. Hidup dalam keadaan yang orang ramai tak ambil tahu, tiada tekanan," katanya.

Fatin berkata, setakat ini dia masih menerima tawaran berlakon dan kali terakhir ialah pada Januari lalu untuk drama 29 episod.

Menurut Fatin, antara sebab dia ingin memperbaiki diri ialah kerana dia dan suami ingin menjadi contoh ibu bapa terbaik untuk anak-anak mereka.

"Kami mahu menjadi muslim yang lebih baik. Kami juga sudah padam hantaran-hantaran yang haram dan tidak elok di media sosial. Untuk mendidik anak, ibu bapa perlu tunjuk contoh yang baik untuk diikuti.

"Saya pun masih belajar untuk semua itu. Termasuk memakai tudung dulu pun agak kekok pada mulanya tidak tahu. Insya-Allah, doakan yang baik-baik untuk saya sekeluarga," katanya.

Fatin dan Opai mendirikan rumah tangga pada Disember 2022 dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Subang Jaya.

Sebelum itu, Fatin pernah berkahwin dengan pelakon, Adam Shahz pada 21 Disember 2013, namun bercerai 30 Mei 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak perempuan, Ivy Herra Sophia, 9.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 11:36 AM