Effendy Rashid


Vienna : Peserta ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023 (QMEPWK66) diraikan dengan jamuan makan malam di kediaman Duta Besar Malaysia di Vienna, Ikram Mohammad Ibrahim.

Peserta dihidangkan nasi minyak, ayam masak merah, kari daging, udang goreng dan roti canai.

Selepas berehat sehari di Vienna, peserta QMEPWK66 bergerak menuju ke Budapest, Hungary sejauh 245 kilometer.

Ikram turut melepaskan semua peserta konvoi di kedutaan Malaysia di Vienna, pagi tadi.

Ikram berkata, beliau mendoakan keselamatan dan berharap semua peserta selamat sampai ke Putrajaya serta dapat menyambut Hari Kebangsaan.

Sementara itu, Ketua Ekspedisi, Arep Kulal, 49, berkata, beliau terharu dengan sambutan yang diberikan oleh pihak kedutaan dan ia membakar semangat peserta untuk meneruskan ekspedisi.

"Kami terharu dengan sambutan yang diberikan dan amat berterima kasih kepada Duta Besar Malaysia di Vienna dan kakitangan kedutaan yang melayan kami dengan baik.

"Ini adalah tonik terbaik buat kami untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya" katanya.

Misi QMEPWK66 yang bermula 20 Jun lalu dari London dijangka mengambil masa selama 66 hari, dengan merentasi 16 negara, meliputi perjalanan sejauh lebih 22,000 kilometer.

QMEPWK66 dianjurkan Global Bike Explorer Sdn Bhd, manakala Quantum Metal Sdn Bhd bertindak sebagai penaja utama manakala GB13, KMF Network serta Bullion Success Group adalah penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 8:24 PM