QMEPWK66 dilepaskan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir di Perkarangan Masjid Hagia Sophia, Istanbul.
QMEPWK66 dilepaskan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir di Perkarangan Masjid Hagia Sophia, Istanbul.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Selepas berjaya 'menakluk' sembilan negara di benua Eropah, Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023 (QMEPWK66) meneruskan misi dengan memasuki Asia ke Turkiye.

Semua enam peserta meneruskan misi ekspedisi ke destinasi ke-11, Ankara, Turkiye dari Istanbul sejauh 445 kilometer (km), semalam.

QMEPWK66 dilepaskan Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir di Perkarangan Masjid Hagia Sophia, Istanbul.

Turut hadir, Pengarah Pelancongan Malaysia di Istanbul, Turkiye, Norlizah Jahaya dan Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Istanbul, Zahiruddin Basiran.

Tengku Mohd Dzaraif berbesar hati kerana Istanbul menjadi salah satu destinasi QMEPWK66 dan mendoakan peserta tidak menghadapi pelbagai rintangan sepanjang ekspedisi dan membawa semangat kemerdekaan untuk menjayakan misi itu.

Sementara itu, peserta ekspedisi, Rosmadi Saad yang juga tenaga pengajar di Kolej Vokasional Setapak berkata, beliau terharu dengan sambutan dan layanan daripada pihak kedutaan.

"Setiap kali kami berhenti di kedutaan, sambutan diterima amat baik. Malah, kami juga dijamu dengan pelbagai menu masakan Malaysia" katanya.

Misi QMEPWK66 yang bermula pada 20 Jun lalu dari London dijangka mengambil masa 66 hari dengan merentasi 16 negara meliputi perjalanan sejauh lebih 22,000 km.

QMEPWK66 dianjurkan Global Bike Explorer Sdn Bhd dan Quantum Metal Sdn Bhd bertindak sebagai penaja utama manakala GB13, KMF Network serta Bullion Suceess Group adalah penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 7:54 PM