KEADAAN Muhammad Hafizuddin yang menghidap penyakit saraf yang kini terlantar di rumahnya di Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk. FOTO Faizul Azlan Razak
KEADAAN Muhammad Hafizuddin yang menghidap penyakit saraf yang kini terlantar di rumahnya di Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: "Jika ikutkan usianya sekarang sudah 21 tahun, namun saiz fizikal dan berat badannya seperti kanak-kanak.

"Malah, badan anak saya kecil dan kurus kering sehinggakan beratnya hanya seberat 10 kilogram (kg) saja," kata Ismail Wahad, 63, bapa kepada Muhammad Hafizuddin Ismail, 21, yang menghidap sakit saraf.

Ismail berkata penderitaan yang dialami anak bongsu daripada lima beradik bermula sejak lima tahun lalu.

Bekas pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, pada mulanya anaknya dikatakan terjatuh tangga di sekolah ketika berusia 12 tahun.

"Saya ingatkan kejadian yang berlaku itu hanya jatuh biasa saja. Bagaimanapun, anaknya mula mengalami demam panas ketika berusia 16 tahun dan lima bulan kemudian hilang keseimbangan badan serta berjalan senget.

"Disebabkan masalah itu juga, Hafizudin tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kesihatan semakin merosot selepas ibunya, Khatijah Muhammad, 50-an, meninggal dunia empat tahun lalu akibat penyakit kanser payu udara.

"Sebelum ini, arwah isteri saya yang banyak menjaganya. Selepas ibunya tiada di sisi kesihatannya semakin merosot sehingga tulangnya menjadi rapuh dan tangannya patah selain kaki kiri patah empat," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Lorong Haji Da, Batu Buruk, di sini.

Ismail berkata, selepas arwah isteri meninggal dunia dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga dan menguruskan keadaan anaknya itu.

Menurutnya, dia kini bergantung sepenuhnya daripada wang pencen sebanyak RM800 sebulan serta bantuan RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Saya juga tidak mampu membayar bil elektrik dan ia sudah dipotong pihak berwajib sejak setahun lalu.

"Malah, sebahagian besar wang pencen digunakan untuk melunaskan hutang pinjaman bank yang di buat untuk membuka kedai makan sejurus bersara empat tahun lalu.

"Namun, kedai makan itu terpaksa ditutup ekoran kerugian akibat pandemik Covid-19, sekaligus menyebabkan hilang punca pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 12:29 PM