Suraya Roslan


KEMENTERIAN Pertahanan mengesahkan mangsa ke-16 yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah seorang pesara tentera berpangkat Leftenan Kolonel.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, mangsa adalah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 75 tahun.

“Arwah menunjukkan gejala lima hari sebelum dimasukkan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada 16 Mac 2020 dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020.

“Kesihatan arwah merosot lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk bantuan pernafasan dan disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac 2020.

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 24 Mac 2020 jam 7.40 malam, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat semalam,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, bayaran khairat kematian berjumlah RM3,000 akan dimasukkan ke akaun waris hari ini.

“Selain itu waris akan menerima pencen terbitan berjumlah lebih RM2,000 setiap bulan.

“Bagi pihak kementerian dan kerajaan, kami mengucapkan takziah kepada keluarga arwah,” katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan pembayaran Skim Bantuan Kebajikan sebanyak RM300 akan disalurkan kepada lebih 4,800 penerima veteran ATM seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan anak yatim bawah 18 tahun bermula 1 April ini.

“Selain itu, pembayaran dana kutipan jalanan Kempen Tabung Pahlawan 2019 mencecah RM5.3 juta akan disalurkan kepada 74 persatuan veteran ATM termasuk ‘matching grant’ yang akan dibayar dengan kadar segera selewat-lewatnya pada akhir Mac ini.


“Ini termasuk insentif RM15,000 hasil daripada kutipan melebihi RM30,000, pembayaran semula dana kutipan jalanan dan ‘matching grant’ serta insentif persatuan veteran ATM membabitkan dana kempen Tabung Pahlawan 2019 berjumlah RM5.3 juta.

“Kutipan daripada jalanan berjumlah RM2.5 juta manakala ‘matching grant’ daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) lebih RM2.5 juta,” katanya.


Menurutnya, pembayaran elaun kenangan Pingat Jasa Malaysia, Kementerian Pertahanan bersetuju mempercepatkan fasa kedua iaitu pemberian sebanyak RM500 secara sekali gus (one off) pada minggu akhir Mac kepada 40,000 penerima membabitkan peruntukan RM20 juta.


  • Lagi berita berkaitan Covid-19

    h

  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:36 PM