PESERTA QMEPWK66 kini dalam perjalanan ke Munich. FOTO ihsan QMEPWK66
PESERTA QMEPWK66 kini dalam perjalanan ke Munich. FOTO ihsan QMEPWK66
Wartawan HM

Livigno, Itali: Selepas menempuh perjalanan sejauh 1,900 kilometer, peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66, London-Kuala Lumpur 2023 (QMEPWK66) bergerak menuju ke Munich, Jerman.

Perjalanan sejauh 1,900 km itu meliputi London, Paris, Bern (Switzerland) dan Livigno (Itali) sebelum peserta dijangka tiba jam 8 malam waktu tempatan di Munich.

Pergerakan QMEPWK66 terhenti hampir empat jam apabila perjalanan ke Stelvio Pass, Itali ditutup bagi memberi laluan kepada perlumbaan basikal di situ.

Ketua Ekspedisi, Arep Kulal berkata, masa menunggu itu digunakan peserta untuk bertemu dengan penduduk tempatan dan peminat motosikal bagi tujuan mempromosikan QMEPWK66 dan Malaysia.

"Penduduk dan peminat motosikal tempatan teruja melihat ekspedisi ini. Kami menerang mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia, mempromosikan Malaysia serta memberi cenderahati berupa rantai kunci, buku nota dan pelekat melambangkan identiti Malaysia," katanya.

QMEPWK66 disertai enam penunggang yang akan mengambil masa selama 66 hari dan melalui 16 negara dengan perjalanan sejauh lebih 22,000 km.

Ekspedisi itu dianjurkan Global Bike Explorer Sdn Bhd dengan Quantum Metal Sdn Bhd adalah penaja utama manakala GB13, KMF Network, Bullion Success Group dan Tourism Malaysia sebagai penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 2:56 PM