PESERTA QMEPWK66 disambut tiga penunggang dari Malaysia Wan Mohd Rodhillah (dari kiri), Abi Khalid Abd Sammad dan Mohd Redzwean di Boten, Loas. FOTO Effendy Rashid
PESERTA QMEPWK66 disambut tiga penunggang dari Malaysia Wan Mohd Rodhillah (dari kiri), Abi Khalid Abd Sammad dan Mohd Redzwean di Boten, Loas. FOTO Effendy Rashid
Effendy Rashid


Laos: Misi peserta Quantum Metal Ekspedisi Perpaduan Watikah Kemerdekaan 66 London-Kuala Lumpur 2023 (QMEPWK66) untuk tiba di tanah air, 31 Ogos ini, semakin hampir berjaya apabila mereka kini sudah menembusi negara Asia Tenggara apabila selamat sampai di Laos, semalam.

Keenam-enam penunggang motosikal berkuasa tinggi itu berjaya menjejaki Laos melalui Boten, selepas menempuh perjalanan selama 22 hari dari Kota London dengan jarak lebih 6,900 kilometer (km).

Detik itu lebih manis apabila semua peserta disambut oleh tiga penunggang dari Malaysia iaitu Abi Khalid Abd Sammad, Mohd Redzwean dan Wan Mohd Rodhillah.

Sepanjang pengembaraan, semua peserta diuji menunggang dalam keadaan cuaca panas mencecah 44 darjah celsius di Gurun Gobi.

Menempuh perjalanan paling jauh antara Turpan ke Dunhuang sejauh 800 km juga ternyata tidak mematahkan semangat mereka untuk menamatkan misi dalam tempoh lebih seminggu ini.

Selain itu, peserta QMEPWK66 juga merasai pengalaman menunggang pada ketinggian 4,296 meter dari aras laut ketika melalui Kangding ke Daocheng dengan suhu 13 darjah celsius.

Peserta ekspedisi, Mohd Farid Mohd Yusof, yang pertama kali menunggang di negara tembok besar itu berkata, melalui perjalanan dengan dua cuaca berbeza adalah suatu pengalaman yang sangat unik.

"Selain itu, perjalanan 'route 318' di Sichuan adalah suatu pengalaman menarik apabila kami perlu melalui pergunungan dengan jalan yang berselekoh pada ketinggian melebihi gunung Kinabalu," katanya.

Sebelum itu, konvoi peserta dilepaskan oleh Naib Konsul Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Rohaya Ayob di hadapan bagunan konsulat.

Mereka berjaya keluar dari China melalui sempadan Laos mengikut seperti jadual yang ditetapkan.

Peserta QMEPWK66 memulakan ekspedisi patriotik ini bermula 20 Jun lalu, dengan perjalanan ke tanah air dijangka mengambil masa selama 66 hari, merentasi 16 negara, meliputi perjalanan sejauh lebih 22,000 km sebelum dijadual tiba di Putrajaya, 31 Ogos nanti.

QMEPWK66 dianjurkan Global Bike Explorer Sdn Bhd, manakala Quantum Metal Sdn Bhd bertindak sebagai penaja utama manakala GB13, KMF Network serta Bullion Suceess Group adalah penaja bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 11:27 AM