KERETA Proton Wira yang dinaiki tiga beranak yang meletup dan terbakar di hadapan sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22. FOTO Ihsan JBPM
KERETA Proton Wira yang dinaiki tiga beranak yang meletup dan terbakar di hadapan sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Polis sedang menunggu laporan penuh daripada Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah berhubung insiden letupan dan kebakaran sebuah kereta Proton Wira yang menyebabkantiga beranak melecur, Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, laporan itu diperlukan sebelum membuka kertas siasatan sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian dua tabung gas oksigen meletup itu.

Menurutnya, keterangan daripada pemilik premis dan beberapa saksi di tempat kejadian sudah diambil bagi membantu siasatan.

"Kita masih menunggu siasatan lengkap daripada pihak bomba sama ada terdapat unsur khianat, kecuaian atau sebaliknya.

"Setakat ini, keadaan dua beranak itu, Tuah Omar, 54, dan anaknya, Muhammad Firdaus Syawal Abdullah, 5, masih kritikal dan dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala isteri dan ibu kanak-kanak terbabit, Noor Azlina Abu Bakar, 36, hanya mengalami kecederaan di tangan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, tiga beranak melecur selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, jam 12.30 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 2:10 PM