Nur Izzati Mohamad


PUNCA kebakaran di rumah dua tingkat yang didiami keluarga dekat Taman Cegar, Simpang Ampat, di Nibong Tebal, 6.30 petang semalam adalah disebabkan perbuatan khianat lelaki yang maut itu sendiri.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, lelaki berusia 51 maut manakala ibu mentuanya, 69, parah akibat melecur hampir keseluruhan anggota badan.

“Siasatan mendapati lelaki itu sedang mabuk sebelum bertindak menyimbah petrol ke arah badan ibu mentua dan turut terkena isterinya yang ketika itu menonton televisyen di ruang tamu,” katanya.

Shafee berkata, lelaki itu sebelum itu memarahi ibu mentuanya dengan menggunakan perkataan kasar hingga bertindak di luar kawalan.

“Suspek mengambil pemetik api dan menyalakan kertas yang berada di ruang tamu seterusnya menghalakan ke arah ibu mentuanya.

“Api kemudian menyambar di seluruh badan ibu mentuanya. Terkejut dengan perbuatan suspek, isteri mangsa terus membawa ibunya ke tandas untuk memadamkan api,” katanya dalam kenyataan, di Nibong Tebal, malam tadi.

Shafee berkata, tidak lama kemudian isteri suspek terdengar bunyi letupan kuat dan kepulan asap sudah memenuhi ruang tamu lalu terus keluar dari rumah dengan membawa ibunya serta seorang anak perempuannya.

“Suspek pada ketika itu berada di tingkat atas rumah, tidak dapat menyelamatkan diri dan maut dalam kebakaran yang terhasil dari perbuatannya sendiri.

“Anggota bomba menemui suspek dalam keadaan terbaring di tingkat atas di hadapan pintu bilik,” katanya.

Mayat suspek dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Shafee berkata, ibu mentua suspek pula dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Jumlah kerugian yang dialami berikutan insiden ini membabitkan sejumlah RM40,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan

Lelaki maut, wanita melecur

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 10:30 AM