Faliq Lajim


LELAKI yang melecur teruk pada badan selepas mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Johan Setia, Klang meletup pada minggu lalu, meninggal dunia, hari ini.

Mangsa, Badrul Niezam@Maidin, 43, menghembuskan nafas terakhir jam 8.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima dimaklumkan anak mangsa jam 9 pagi yang bapanya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

“Doktor mengesahkan kematian mangsa jam 8.30 pagi. Punca kematian akibat terbakar serius sebanyak 73.5 peratus dengan kegagalan pelbagai organ badan,” katanya.

Menurutnya, anak perempuan mangsa berusia 14 tahun sudah dipindahkan ke Hospital Selayang pada 8 Oktober lalu dan keadaannya dilaporkan bertambah baik.

Katanya, mangsa kini boleh makan dan minum selain sedang menjalani rawatan kulit.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa dan anaknya melecur selepas berlaku letupan di premis terbabit pada 4 Oktober lalu.

Difahamkan, kejadian jam 9 pagi itu berlaku selepas mangsa menekan butang mula pada mesin pengering berkenaan.

Kejadian berkenaan menyebabkan dua beranak itu melecur di beberapa bahagian badan.

Kejadian dikatakan berpunca daripada masalah teknikal pada mesin pengering yang menyebabkan api menyambar bahagian belakang yang menempatkan tong gas.

Berita berkaitan

Dua beranak melecur kedai dobi meletup

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 5:07 PM