KEADAAN Proton Wira yang meletup dan terbakar berhampiran Taman Industri Ringan Sri Mergong. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN Proton Wira yang meletup dan terbakar berhampiran Taman Industri Ringan Sri Mergong. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga beranak melecur selepas kereta yang dinaiki mereka meletup dan terbakar berhampiran sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, Lorong Perak 22, di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, kesemua mereka berusia antara lima tahun hingga 54 tahun.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan kebakaran kenderaan jenis Proton Wira di lokasi kejadian pada jam 12.31 tengah hari.

"PGO kemudian mengarahkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar keluar ke lokasi kejadian dan turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya.

"Kebakaran itu membabitkan sebuah kereta terbakar pada bahagian dalam yang membabitkan tiga mangsa.

"Difahamkan, pemandu kereta melecur 80 peratus dan isterinya melecur 30 peratus manakala anak mereka melecur hampir 95 peratus.

"Kebakaran dipadamkan orang awam serta pemilik kedai menggunakan alat pemadam api," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata, ketiga-tiga mangsa terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, setakat ini penilaian peratusan kebakaran itu masih dalam siasatan.

"Peratusan kebakaran kereta Proton Wira terbabit dianggarkan 60 peratus.

"Operasi tamat pada 1.35 petang dan punca kebakaran itu berlaku dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 3:42 PM