KERETA Proton Wira yang dinaiki tiga beranak yang meletup dan terbakar. FOTO Ihsan Bomba
KERETA Proton Wira yang dinaiki tiga beranak yang meletup dan terbakar. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tiga beranak yang melecur selepas kereta Proton Wira dinaiki meletup dan terbakar di hadapan sebuah premis di Taman Industri Ringan Sri Mergong, dekat sini, Selasa lalu masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, setakat ini dua mangsa, Tuah Omar, 54, yang melecur 70 peratus dan anaknya, Muhamad Firdaus Syawal Abdullah, 5, yang melecur 60 peratus dalam keadaan stabil dan sedang ditidurkan.

Beliau berkata, isterinya, Noor Azlina Abu Bakar, 34, yang melecur 30 peratus pula dirawat di Unit Kebakaran HSB.

"Muhammad Firdaus Syawal pula dirawat di Wad Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB," katanya ketika dihubungi hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, tiga beranak melecur selepas kereta Proton Wira yang dinaiki mereka meletup di hadapan sebuah premis Taman Industri Ringan Mergong, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Selasa lalu, tiga beranak terbabit datang ke premis itu untuk mengisi dua tong gas oksigen untuk kegunaan bantuan pernafasan bagi kegunaan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 7:40 AM