Hishamuddin pada sidang media berkaitan penipuan pelaburan kutu Saving Sapiza di perkarangan pejabat JSJK Bukit Aman, Jalan Tun Razak. FOTO FATHIL ASRI
Hishamuddin pada sidang media berkaitan penipuan pelaburan kutu Saving Sapiza di perkarangan pejabat JSJK Bukit Aman, Jalan Tun Razak. FOTO FATHIL ASRI
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk memberikan perkembangan berhubung kes pelaburan kutu Sapiza selepas lima bulan tangkapan dibuat pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Malaysia International Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, ia susulan beberapa mangsa tampil kepada pihaknya bagi memohon perhatian dan tindakan selanjutnya daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komerisial (JSJK) Bukit Aman berkaitan kes berkenaan.

Menurutnya, beberapa mangsa juga ingin memberikan maklumat tambahan dengan dokumen sokongan bagi bukti-bukti baharu dalam siasatan berkenaan.

"Kita merasakan perlu ada keperluan untuk pihak polis memberikan perkembangan siasatan selepas hampir lima bulan tangkapan dilakukan terhadap penganjurnya.

"Ada juga mangsa mendakwa pihak ketiga meminta mereka untuk menarik laporan polis. Ini perkembangan tidak sihat.

"Sehubungan itu, kita desak pihak JSJK meneruskan siasatan serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak agar kertas siasatan dapat diselesaikan dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk pendakwaan," katanya ketika ditemui di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini, hari ini.

Terdahulu, MHO menyerahkan surat permohonan perhatian dan tindakan lanjut kepada Timbalan Pengarah JSJK Datuk Mohd Hasbullah Ali.

Sementara itu, seorang mangsa kutu berkenaan yang ingin dikenali sebagai Acu berkata, dia yang kerugian lebih RM30,000 menyertai pelaburan kutu itu pada 2021.

Menurutnya, dia yang melabur secara berperingkat turut dijanjikan pulangan kira-kira 10 hingga 60 peratus.

"Pada beberapa bulan pertama, saya terima keuntungan hampir 30 peratus namun penganjurnya gagal memberikan pulangan dividen sejak September tahun lalu.

"Saya dan beberapa mangsa lain cuba menghubunginya namun mereka memberikan pelbagai alasan sehingga kami mendapatkan bantuan daripada MHO berkaitan kes ini," katanya.

Februari lalu, media melaporkan seramai 60 mangsa tampil membuat aduan kepada MHO dan daripada jumlah itu seramai 30 mangsa sudah membuat laporan polis.

Modus operandi skim kutu digelar 'Ekstra Saving Sapiza' adalah menampilkan iklan menarik di pelbagai platform media sosial dengan menjanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 60 peratus daripada wang yang dilaburkan.

Skim pelaburan kutu itu hingga kini sudah menyebabkan kerugian dianggarkan RM50 juta dipercayai membabitkan lebih 1,000 mangsa seluruh negara.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilaporkan berkata, seramai lapan individu termasuk dalang utama sindiket skim simpanan yang dikenali sebagai Sapiza Saving Extra (SSE) berjaya ditahan pihak polis pada 27 Januari lalu.

Semua mereka terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita berusia dalam lingkungan usia 31 hingga 37 tahun di sekitar Kuala Lumpur, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan.

Sejumlah 116 laporan polis diterima membabitkan nilai kerugian berjumlah RM4,438,300.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:58 PM