Mohd Roji Kawi

Kuching: Sebuah syarikat pelaburan hartanah dikenal pasti mengaut keuntungan sebanyak RM50 juta selepas memperdaya lebih 500 individu untuk melabur dalam skim hartanah serta membeli rumah yang mereka tawarkan.

Syarikat terbabit yang beroperasi di Sibu sudah dikenal pasti memperdaya kira-kira 400 individu di Sarawak yang kebanyakannya penduduk luar bandar.

Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, selain itu ramai lagi individu di Kedah dan Johor sudah menjadi mangsa syarikat terbabit.

Menurutnya, syarikat terbabit yang mula menjalankan kegiatan sejak 2019 menawarkan tiga skim kepada mangsa.

"Pertamanya mereka menawarkan skim pembinaan rumah di atas tanah sendiri, kedua mereka menawarkan untuk mencari tapak dan membina rumah kepada pembeli, manakala ketiga mereka menawarkan skim pelaburan berkonsepkan hartanah dengan meminta mangsa membayar dalam jumlah tertentu dan menjanjikan pulangan dividen.

"Tetapi malangnya, ketiga-tiga skim itu tidak dilaksanakan walaupun mereka sudah mengutip wang daripada orang ramai yang tertarik dengan tawaran pembinaan rumah serta skim pelaburan yang menjanjikan pulangan menguntungkan," katanya.

Hishamuddin berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

HISHAMUDIN (tiga kiri) bersama mangsa penipuan di perkarangan IPK Sarawak. FOTO Nadim Bokhari
HISHAMUDIN (tiga kiri) bersama mangsa penipuan di perkarangan IPK Sarawak. FOTO Nadim Bokhari

Beliau berkata, sehingga kini MHO menerima sebanyak 80 aduan rasmi berhubung penipuan itu, namun berdasarkan penelitian, pihaknya percaya lebih 500 lagi yang menjadi mangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ramai mangsa tertarik dengan tawaran untuk membeli rumah di kawasan strategik termasuk berdekatan Lapangan Terbang Sibu.

"Tetapi apa yang berlaku, rumah yang dikatakan di belakang Lapangan Terbang Sibu itu tidak wujud, akhirnya harapan mangsa untuk memiliki rumah sendiri musnah dan modal pula lesap," katanya.

Justeru katanya, MHO mengadakan pertemuan dengan Mohd Azman bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak Superintendan Maria Rasid bagi memohon tindakan tegas terhadap syarikat terbabit serta mendedahkan perkembangan terkini hasil siasatan polis terhadap kes itu kepada pengadu selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 107A Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya lagi, dalam pertemuan itu MHO dimaklumkan bahawa pengarah syarikat terbabit yang dikenal pasti dalam kes penipuan itu sudah dituduh di mahkamah di Miri.

"Dalang terbabit dituduh atas dua pertuduhan dan polis memaklumkan sebanyak 13 lagi aduan diterima dan 18 kertas siasatan sudah dibuka berhubung kes itu.

"Datuk Mohd Azman memberi jaminan untuk melengkapkan semua kertas siasatan bagi membolehkan suspek dituduh atas semua aduan itu, bukan setakat dua yang sudah dituduh sebelum ini.

"Beliau juga memaklumkan satu petugas khas ditubuhkan polis Sarawak bagi menangani kes berkenaan," katanya.

Menurutnya lagi, MHO juga menuntut agar siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420, Seksyen 415 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pecah amanah.

"MHO juga akan membawa kes itu ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana syarikat terbabit dikenal pasti melakukan 20 kesalahan mengikut Seksyen 4(2) Akta Skim Kepentingan 2016 antaranya tidak berdaftar, tiada pemegang amanah serta tiada akaun khas untuk tujuan tawaran pelaburan berkonsep hartanah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 2:03 PM