Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Iklan menarik di pelbagai platform media sosial dengan menjanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 60 peratus daripada wang yang dilaburkan.

Itu modus operandi skim kutu digelar 'Sapiza Saving Extra' yang sehingga kini sudah menyebabkan kerugian dianggarkan RM50 juta dipercayai membabitkan lebih 1,000 mangsa seluruh negara.

Seorang daripada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wati, 39, mendakwa dia bersama dua lagi adik-beradiknya mengalami kerugian sebanyak RM70,000 selepas ditipu oleh individu yang menjalankan pelan pelaburan kutu itu.

"Saya melabur wang sebanyak RM7,000 dalam skim kutu itu pada Mac tahun lalu adalah untuk menambah kos perubatan anak lelaki berusia lima tahun yang menghidap kecacatan fizikal (spina bifida).

"Pelabur dijanjikan pulangan sebanyak 10 hingga 60 peratus seperti yang ditawarkan di dalam pelan pelaburan," kata pemilik warung makan itu pada sidang media pendedahan mangsa anjuran Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini, hari ini.

Menurutnya, pelan pelaburan kutu itu dikatakan menyediakan beberapa pakej serta tarikh pulangan wang modal serta keuntungan.

Wati berkata, selain daripada seorang wanita yang juga dianggap 'ibu kutu', terdapat beberapa individu yang ditugaskan sebagai 'admin' untuk membantu menjalankan skim kutu itu.

"Kami berasa ditipu apabila kami tidak mendapat pulangan wang seperti yang telah dijanjikan sejak November tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa penipuan skim kutu itu berasal dari Johor.

"Seramai 60 mangsa tampil membuat aduan kepada MHO dan daripada jumlah itu seramai 30 mangsa sudah membuat laporan polis," katanya.

Hishamuddin berkata, ada juga dalam kalangan mangsa terdiri daripada ustaz, penjawat awam, swasta dan anggota polis.

"Mangsa terpedaya dengan skim itu kerana menawarkan pembayaran ekstra, iaitu suatu kadar yang tidak pernah dijanjikan oleh mana-mana institusi kewangan serta pelaburan yang sah," katanya.

Hishamuddin berkata, beliau difahamkan penganjur skim itu yang dikenali sebagai 'ibu kutu' bersama tujuh ejennya sudah ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman semalam untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan pihaknya jika kes 'ibu kutu' dan ejen terbabit akan diserahkan kepada agensi berkaitan iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.

"Kita bimbang, SSM menerusi Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) hanya membuat tuduhan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) dengan hukuman maksimum hanya RM500,000 atau penjara," katanya.

Menurutnya, MHO berharap pelaku wajar dikenakan tindakan tegas bukan saja mengikut akta itu malah perlu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Hishamuddin turut menyeru semua mangsa di seluruh negara tampil membuat laporan polis.

"Ramai mangsa takut berbuat demikian kerana diugut oleh ejen skim berkenaan kononnya duit mereka akan lebur jika membuat laporan polis.

"Padahal jika pelaku jenayah penipuan ini tidak dilaporkan kepada polis, ia berisiko akan bertambah lagi mangsa terpedaya dengan jumlah kerugian tentunya semakin tinggi," katanya.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan, yang turut hadir dalam sidang media itu berkata, kerjasama erat antara semua agensi perlu diwujudkan supaya pihak berkuasa dapat menjalankan tugas dengan cepat membanteras skim penipuan.

"Pihak berkuasa perlu bertindak tegas serta pantas. Mangsa juga mahu mereka yang terbabit dalam aktiviti skim penipuan seumpamanya menerima hukuman berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 3:12 PM