Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Seorang pesara kerajaan kerugian RM250,000 akibat diperdaya sindiket penipuan pelaburan berkonsepkan saham boleh tebus syariah atau Islamic Redeemable Shares (i-RPS) dan pendanaan awam.

Mangsa, Harun Mohd Yunos, 63, berkata, dia tertarik untuk melabur selepas melihat isterinya menerima dividen bulanan mencecah RM8,000 sebulan menerusi skim pelaburan berkenaan.

Menurutnya, isterinya yang mula melabur sebanyak RM250,000 sejak awal tahun 2022 sudah beberapa kali menerima pulangan, walaupun jumlahnya tidak mencecah modal yang dikeluarkan.

"Pulangan yang diterima oleh isteri menyebabkan saya juga mula melabur di syarikat yang sama pada Disember 2022 dengan jumlah pelaburan sebanyak RM250,000.

"Tetapi saya menerima bayaran dividen kurang daripada yang diterima isteri iaitu RM6,000 sebulan bermula Disember 2022 hingga April lalu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Susulan itu, Harun berkata, mereka membuat keputusan untuk menghentikan pelaburan mulai Mei lalu.

Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima 400 laporan berhubung skim pelaburan sama sejak Mac 2022.

Katanya, jumlah kerugian mencecah RM140 juta sudah berjaya dikaut oleh syarikat pelaburan berkenaan menerusi modus operandi sama.

"Berdasarkan data yang dikumpul, ia membabitkan dua kumpulan mangsa yang mana jumlah kerugian dialami adalah masing-masing RM50 juta dan RM90 juta.

"Sebelum ini, ada kumpulan mangsa yang sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) namun dikatakan telah NFA (No Further Action).

"Alasan diberikan adalah disebabkan syarikat pelaburan berkenaan adalah syarikat asing," katanya ketika menyerahkan surat permohonan perkembangan semasa kes skim pelaburan di Ibu Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, di sini, hari ini.

Menurutnya, isu ini perlu dibawa ke peringkat lebih tinggi khususnya kepada pihak JSJK dan Jabatan Peguam Negara supaya keputusan SSM itu dapat dikaji semula.

"Walaupun syarikat berkenaan adalah syarikat asing namun pembayaran dibuat kepada syarikat tempatan dan mangsa (pelabur) adalah dalam kalangan rakyat tempatan.

"Pihak kami akan menunggu maklum balas siasatan dalam tempoh 14 hari daripada JSJK sekiranya tiada jawapan dan mangsa tidak berpuas hati dengan hasil siasatan maka perkara ini akan kami bawa kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.

HISHAMUDDIN (tengah) dan antara mangsa yang diperdaya sindiket penipuan pelaburan berkonsepkan saham boleh tebus syariah di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Jalan Tun Razak, hari ini. FOTO  Mohamad Shahril Badri Saali
HISHAMUDDIN (tengah) dan antara mangsa yang diperdaya sindiket penipuan pelaburan berkonsepkan saham boleh tebus syariah di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di Jalan Tun Razak, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 4:52 PM