Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Arkib NSTP
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesahkan menerima 547 laporan berhubung kes penipuan pelaburan oleh tiga syarikat pelaburan.

Pengarah JSJK Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua laporan itu merujuk kepada syarikat Radiance Asset Berhad, Planetrade Holdings Sdn Bhd dan The Rain Maker Mgmt Sdn Bhd.

Menurutnya, sebanyak 62 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Daripada jumlah itu 42 kertas siasatan masih dalam tindakan siasatan manakala 14 kes sudah dituduh, empat arahan tiada tindakan lanjut (NFA) dan dua masih dalam tindakan Pejabat Peguam Negara.

"Semua laporan polis yang didapati mempunyai unsur penipuan atau pecah amanah jenayah akan dibuka kertas siasatan dan disiasat mengikut seksyen berkaitan jenayah itu di bawah kanun keseksaan," katanya.

Bagaimanapun katanya, bagi kes membabitkan jenayah pelaburan, kebanyakan kes menjurus kepada peruntukan undang-undang lain seperti Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671), Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758), Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan Akta Skim Kepentingan 2016 (Akta 778) yang mana terdapat agensi khusus untuk menyiasat kesalahan spesifik yang berkaitan.

"Apabila sesuatu laporan polis diterima, pihak JSJK akan menasihatkan pengadu untuk merujuk laporan mereka kepada agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai kira-kira 500 mangsa penipuan tampil membuat aduan dan laporan kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) selepas mendakwa tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas tiga syarikat pelaburan.

Kumpulan yang dibawa oleh Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu mahu siasatan segera dilakukan bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib mangsa perlu mengambil maklum bahawa pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil mudah atau bersikap tidak peka terhadap kes penipuan termasuk skim pelaburan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan terutama yang menjanjikan pulangan tinggi terutama daripada syarikat tidak berdaftar.

Semalam, MHO bersama 500 mangsa kes penipuan pelaburan membuat aduan kepada NFCC selepas mendakwa tiada tindakan diambil terhadap tiga syarikat yang dikatakan menipu mangsa.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, mangsa sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga syarikat terbabit dikatakan belum dikenakan tindakan selain mendakwa ada beberapa kes membabitkan mangsa dikategori sebagai NFA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 7:00 PM