HISHAMMUDDIN. FOTO Arkib NSTP
HISHAMMUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mempertikai tawaran dibuat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi kepada pemimpin yang dipecat dan digantung untuk menyertai semula parti berkenaan.

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, beliau tidak mengetahui tawaran yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid sama ada ikhlas atau sebaliknya.

"Yang saya tahu, kita kena mohon untuk diterima semula. Keduanya, kena bawa ke jawatankuasa disiplin. Tetapi bagi saya, sampai hari ini saya tak tahu apa sebabnya saya digantung.

"Masa saya digantung dulu, jawatankuasa disiplin tak pernah panggil untuk siasat dan (untuk saya) jawab. Jadi saya pun tak tahulah sama ada apa yang diluahkan baru-baru ini ikhlas atau tidak," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini bahawa Umno sentiasa bersikap terbuka untuk menerima kembali ahli-ahli parti itu yang sebelum ini dikenakan tindakan disiplin.

Hishammuddin dalam masa sama turut menyifatkan tawaran yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid itu tidak masuk akal.

"Apa sebabnya saya kena letak nasib saya ke jawatankuasa disiplin? Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah menggantung saya tanpa dirujuk kepada jawatankuasa disiplin (terlebih dahulu) dan sekarang ini saya diminta untuk itu. Tak masuk akal," katanya.

Beliau juga melihat kenyataan dibuat oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai maklum balas luahan diutarakan oleh akar umbi atau perwakilan parti itu.

"Tetapi itu terserah kepada mereka. Bagi saya dan kawan-kawan yang digantung dan dipecat ini, tak ada rugi, kita telah digantung.

"Sindiran dan tawaran bersyarat tidak membawa apa-apa makna kepada diri saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 4:06 PM