Mohd Salim Mohd Sharif
Mohd Salim Mohd Sharif
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif memaklumkan sudah menghantar surat rayuan untuk dilepaskan daripada penggantungan enam tahun dikenakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno terhadapnya pada Januari lalu.

Beliau berkata, surat rayuan itu sudah dihantar kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dua bulan lalu dan ia akan diputuskan kepimpinan Umno di peringkat pusat.

"Rayuan sudah dihantar kira-kira dua bulan lalu. Perhubungan negeri pun menyokong supaya dilepaskan penggantungan.

"(Tapi) keputusannya saya tak tahu. Negeri sudah buat keputusan menyokong dilepaskan (saya daripada) penggantungan. Jadi tinggal di peringkat atas sahajalah," katanya kepada Harian Metro tadi.

Mohd Salim antara empat yang diumumkan penggantungan selama enam tahun sebagai ahli Umno sebelum ini, termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan dan bekas Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti itu.

Pada Jun lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan parti itu sentiasa terbuka menerima kembali ahlinya yang sebelum ini digantung atau dipecat.

Ahmad Zahid berkata, Umno telah mengambil maklum semua saranan ahlinya untuk meneliti semua rayuat tersebut, namun perkara itu akan diputuskan ahli MKT.

Mengulas lanjut, Mohd Salim juga menggesa agar kepimpinan parti itu meneliti rayuan yang dibuatnya.

Ini kerana katanya, walaupun berhadapan dengan ujian berat sebelum ini seperti isterinya meninggal dunia akibat kanser dan jawatan Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dilucutkan, beliau tetap setia dengan Umno.

"Nilailah (kepimpinan Umno). Tapi saya reda atas ujian ke atas diri saya," katanya.

Mohd Salim berkata, walaupun kini digantung dan tidak menjadi wakil rakyat kini, tetapi beliau tetap mahu berbakti kepada mereka.

Katanya, antara yang dilakukan olehnya adalah seperti menyantuni pengundi muda di kawasan Parlimen Jempol baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 2:50 PM