AHMAD Zahid ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bilangan 3 Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
AHMAD Zahid ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Bilangan 3 Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan terpulang kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk menyertai parti lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, itu haknya dan bekas Ketua Pemuda Umno itu juga bukan lagi ahli parti.

"Itu hak dia untuk ke mana-mana pun. Dia tidak lagi menjadi ahli Umno," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di ibu negara hari ini.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada Umno, pada Januari lalu.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan Khairy memberi sumbangan bagi memperkukuhkan kedudukan Bersatu, selain ketokohannya sebagai pemimpin politik muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 1:02 PM