Zuliaty Zulkiffli


Kuala Kedah: Harga ikan dan hasil tangkapan laut di sini, terus meningkat berikutan keadaan ombak kuat dan angin kencang sejak hampir sebulan lalu.

Tinjauan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, di sini mendapati, hasil tangkapan ikan kembung mencecah RM15 sekilogram berbanding RM7 hingga RM10.

Nelayan mendakwa kekurangan hasil tangkapan ikan serta hasil tangkapan laut mungkin akan berlarutan sehingga Aidiladha bergantung pada keadaan cuaca walaupun mendapat permintaan tinggi.

Nelayan, Nazri Ahmad, 52, berkata, keadaan ombak di tengah laut setinggi 0.5 hingga 1.5 meter menyebabkan kebanyakan nelayan terpaksa berpatah balik kerana bimbang dipukul ombak.

Katanya, dia hanya menangkap ikan di pesisir kuala seawal 6 pagi dan pulang ke pelantar sekitar jam 9 atau 10 pagi dengan hasil tangkapan sekitar satu atau dua kg sahaja.

"Ditambah pula dengan musim kurang ikan waktu ini, tangkapan diperoleh cukup walaupun sedikit.

"Antara ikan yang selalu dapat adalah senangin, gelama, tamban dan kembung. Cukuplah untuk modal duit minyak dan untuk makan setiap hari," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Peniaga ikan, Khadijah Md Syah, 48, berkata, hasil ikan dan hasil laut yang berkurangan merunsingkan peniaga serta nelayan disebabkan jualan merosot.

PENIAGA ikan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota menjual ikan dan hasil tangkapan laut dengan harga mahal. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PENIAGA ikan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota menjual ikan dan hasil tangkapan laut dengan harga mahal. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Katanya, mereka hanya bergantung pada hasil jualan ikan dan tangkapan laut setiap hari, tetapi disebabkan kurang hasil tangkapan ikan, mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menjual apa yang ada.

"Harga ikan kembung hari ini sekitar RM15 sekilo dan mungkin lebih mahal di pasar awam kerana di sini kami jual dengan harga peraih yang lebih murah.

"Harga udang rotan pula mencecah RM25 sekilo manakala harga udang putih pula mencecah RM40 sekilo.

"Tahun ini cabaran buat nelayan dan peniaga ikan di sini kerana harga ikan tidak menentu sejak awal tahun dan meningkat jika keadaan cuaca tidak menentu serta ombak kuat di tengah laut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 3:58 PM