Zuliaty Zulkiffli


FENOMENA air pasang di Kuala Kedah yang berlaku sejak semalam menyebabkan air laut melimpah membanjiri beberapa kawasan termasuk pelantar ikan di Alor Setar.

Tinjauan NSTP hari ini mendapati, air laut melimpah sehingga 10 meter hampir ke jalan raya dari pelantar ikan Kampung Seberang Kota, sejak awal pagi tadi namun surut selepas 2 petang.

Berikutan fenomena itu, kebanyakan nelayan pulang dengan tangkapan yang agak berkurangan disebabkan air pasang besar di tengah laut dan ombak bergelora.

Nelayan, Ismail Awang, 57, berkata, keadaan cuaca hari ni lebih baik dari semalam namun kebanyakan hampir semua nelayan mengambil langkah berhati-hati ketika menangkap ikan.

Katanya, sekiranya nampak cuaca bertukar mendung, mereka akan segera pulang ke darat kerana bimbang akan berlaku kejadian tidak diingini.

"Semalam, ombak agak kuat dan disertai angin kencang namun hari ini ditambah pula air pasang besar, jadi kami hanya dapat ikan sikit saja itu pun hanya 10 kilogram (kg).

"Ini kerana ikan banyak lari disebabkan ombak kuat dan tak masuk banyak ke dalam pukat. Hari ni pun saya hanya dapat RM80 untuk 10 kg ikan," katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, hari ini.

Nelayan lain, Mohd Yusof Saad, 42, berkata, dijangkakan fenomena air pasang besar akan berlaku lebih tinggi menyebabkan ramai nelayan bersiap sedia menghadapi kemungkinan.

Katanya, mereka mengetahui laporan itu melalui media dan akan lebih berhati-hati ketika keluar ke laut.

"Buat masa sekarang kami pergi ke laut macam biasa dan kalau ada arahan atau nampak langit kelam dan cuaca buruk, kami akan pulang segera ke daratan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 43, berkata, harga ikan kembung meningkat sedikit hari ini iaitu RM8 sekilogram berbanding RM5 hingga RM6 sekilo disebabkan kekurangan hasil tangkapan.

Katanya, fenomena air pasang itu biasanya berlaku hanya seminggu namun kejadian itu di luar jangkaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata, pihaknya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan air pasang besar yang dijangka berlaku antara 9 hingga 12 September dan 23 hingga 24 September ini.

Beliau berkata, setakat ini, tumpuan diberikan di Langkawi dan Kuala Muda namun tempat lain turut diberi perhatian juga.

"Kita tidak menempatkan anggota di kawasan berisiko namun hanya menghantar anggota pada hujung minggu atau ketika cuti persekolahan.

"Bagaimanapun saya menasihatkan orang ramai supaya mengelak dari mengunjungi tempat berisiko berlakunya fenomena air pasang ini bagi mengelakkan sebarang kemungkinan" katanya di Alor Setar, hari ini.

Selain itu katanya, kejadian kepala air juga boleh berlaku ketika cuaca tidak menentu ketika ini seperti di Tupah, Sungai Petani dan Titi Hayun di Yan yang berlaku baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 7:40 PM
ISMAIL (kiri) dan Mohd Yusof mengeluarkan ikan dari pukat selepas  pulang awal daripada menangkap ikan akibat air pasang. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ISMAIL (kiri) dan Mohd Yusof mengeluarkan ikan dari pukat selepas pulang awal daripada menangkap ikan akibat air pasang. FOTO Zuliaty Zulkiffli