HARGA pasaran ikan kembung meningkat dan dijual pada harga RM10 sekilogram.
HARGA pasaran ikan kembung meningkat dan dijual pada harga RM10 sekilogram.
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Harga pasaran ikan kembung didapati meningkat sehingga RM12 sekilogram semalam, berbanding hanya RM6 dua minggu lalu, berikutan cuaca tidak menentu menyebabkan bekalannya menjadi terhad.

Cuaca buruk yang melanda negeri di utara mengakibatkan kebanyakan nelayan sekitar Kuala Kedah tidak dapat keluar menangkap ikan akibat laut bergelora yang boleh mengancam keselamatan mereka terutama yang menggunakan bot kecil.

Tinjauan NSTP di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah mendapati, kebanyakan nelayan yang pulang daripada menangkap ikan hanya memperoleh hasil tangkapan yang sedikit berbanding sebelum ini.

Nelayan, Norazlan Mohd Hassan, 39, berkata, mereka hanya berani turun ke laut pada awal pagi hingga tengah hari kerana pada sebelah petang dan malam hujan lebat kerap berlaku menyebabkan keadaan laut bergelora.

Katanya, nelayan mula dapat membawa pulang hasil tangkapan selepas tidak mendapat sebarang ikan dalam tempoh seminggu lalu.

“Kebanyakan ikan yang diperoleh pagi ini (semalam) hanya bersaiz kecil kerana ombak besar menyebabkan kumpulan ikan berada di tengah lautan.

“Kami pula tidak berani keluar jauh kerana perlu berpatah balik ke pelantar sekiranya berlaku ribut di lautan bagi mengelak keadaan lebih buruk,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, peniaga, Khadijah Md Shah, 43, berkata, harga ikan kembung di pelantar Kampung Seberang Kota meningkat antara RM10 hingga RM12 berbanding hanya antara RM4 hingga RM6 sebelum cuaca ribut melanda.

Katanya, sejak empat hari lalu, kebanyakan peniaga ikan tidak berniaga dan ada setengahnya hanya menjual lebihan ikan terdahulu disebabkan kekurangan hasil tangkapan.

“Harga ikan di sini tidak sama dengan pasaran luar yang jauh lebih mahal dan kami berharap keadaan kembali pulih walaupun Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca hujan dan ribut berlaku hingga hujung bulan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 11:26 AM