KHADIJAH Md Shah menjual ikan kembung pada harga RM10 untuk tiga kilogram di pelantar ikan Kampung Seberang Kota. FOTO Zuliaty Zulkiffli
KHADIJAH Md Shah menjual ikan kembung pada harga RM10 untuk tiga kilogram di pelantar ikan Kampung Seberang Kota. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“SEBELUM ini nak dapat sekilo ikan pun susah sebab cuaca panas sejak Januari lalu tetapi sekarang banyak pula hasil tangkapan yang dapat hingga harganya murah, ” kata nelayan, Mohd Farid Othman, 44.

Mohd Farid berkata, cuaca panas yang melampau sejak tiga bulan lalu turut memberi kesan kepada golongan nelayan disebabkan hasil tangkapan berkurangan.

Menurutnya, kini hasil tangkapan ikan yang diperoleh adalah sebanyak 100 kilogram (kg) berbanding hanya 30 atau 40 kg sehari sebelum ini.

Katanya, harga ikan kembung kini RM4 sekilo atau tiga kilo RM10 bersaiz kecil sejak lima hari lalu dan bergantung pada hasil tangkapan setiap hari.

“Kalau dapat banyak ikan, lagi murah harganya, namun kalau ikan berkurangan, harganya akan meningkat sedikit berbanding biasa.

“Lambakan ikan berlaku disebabkan perubahan monsun barat dan memberi rezeki kepada nelayan di sini,” katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah hari ini.

Mohd Farid berkata, sejak berlaku lambakan ikan ini, kebanyakan nelayan turun ke laut seawal 6 pagi dan pulang ke pelantar seawal 8 atau 9 pagi.

Katanya, biasanya kalau ikan berkurangan, mereka hanya pulang ke pelantar pada waktu tengah hari atau petang.

Sementara itu, peniaga ikan, Khadijah Md Shah, 44, berkata, sebelum ini harga ikan di pasar pernah mencecah RM10 hingga RM15 sekilo berbanding hanya RM4 atau RM5 sekilo.

Katanya, namun harga ikan di pelantar ini dijual secara terus oleh nelayan dan harga paling mahal sekitar RM6 sekilo saja.

“Harga ikan di sini tak sama setiap hari kerana kami bergantung dengan hasil tangkapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 1:07 PM