IKAN kembung dijual pada harga RM12 sekilo gram di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
IKAN kembung dijual pada harga RM12 sekilo gram di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Harga pasaran ikan kembung di negeri ini melonjak naik sehingga mencecah RM12 sekilogram (kg) sejak dua minggu lalu berikutan kekurangan hasil tangkapan selain cuaca tidak menentu.

Tinjauan di pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah di sini mendapati, peniaga terpaksa menjual hasil tangkapan yang diperoleh walaupun jumlahnya sedikit.

Peniaga, Khatijah Md Shah, 44, berkata, harga ikan kembung yang dijualnya bergantung pada saiz namun paling mahal dijual pada harga RM12 kg iaitu saiz sederhana sekitar 20 ekor.

Katanya, sebelum ini hasil tangkapan ikan yang diperoleh nelayan mampu mencecah sekitar satu tan kalau ikan banyak tetapi dengan keadaan sekarang ini, dia hanya mampu menjual 30 kg sehari.

"Namun harga jualan ikan di pelantar ini sering berubah setiap hari dan jika tangkapan terlalu sikit, ia dijual dengan harga mahal untuk menampung penggunaan minyak dan upah nelayan.

"Ikan di pelantar ini dijual secara terus oleh nelayan dengan harga murah berbanding jualan di pasar basah yang agak mahal dan sebelum ini, harga ikan kembung hanya RM5 hingga RM6 sekilo bergantung pada saiz sebelum ia naik mendadak sehingga mencecah RM12 sekilo," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Khatijah berkata, selain ikan kembung, harga ikan dan hasil tangkapan lain juga meningkat disebabkan hasil tangkapan berkurangan dan kenaikan harga tidak dapat dielakkan berikutan ramai nelayan tidak dapat turun ke laut disebabkan cuaca tidak menentu.

Namun katanya, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku awal pagi esok dan lusa tidak menjejaskan nelayan untuk turun ke laut kerana fenomena itu diramalkan berlaku sekitar 1 atau 2 pagi.

"Nelayan biasanya turun sekitar 5 hingga 6 pagi setiap hari dan apabila tangkapan sedikit, mungkin akan menyebabkan hasil jualan ikan cepat habis," katanya.

Nelayan, Abdul Hamid Ismail, 40, berkata, keadaan ombak yang beralun di tengah laut selain ikan berkurangan menyebabkan mereka sukar mendapat hasil tangkapan yang banyak.

Katanya, setiap petang apabila angin kuat atau cuaca bertukar gelap, dia dan rakannya segera naik ke darat kerana bimbang kejadian ribut di tengah laut.

"Kadang dapat ikan sampai 30 hingga 40 kg tetapi ada kalanya tak dapat langsung kalau cuaca hujan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 9:38 PM