NELAYAN di pelantar ikan Seberang Kota mengasingkan hasil tangkapan ikan yang banyak diperolehi berikutan perubahan monsun timur yang berlaku. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NELAYAN di pelantar ikan Seberang Kota mengasingkan hasil tangkapan ikan yang banyak diperolehi berikutan perubahan monsun timur yang berlaku. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


PERUBAHAN Monsun Timur Laut sejak seminggu lalu memberi lebihan rezeki kepada nelayan berikutan berlaku lambakan ikan menyebabkan dijual pada harga RM10 untuk empat kilogram.

Malah, peniaga ikan di Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, Alor Setar terpaksa mempromosikan jualan ikan kembung di media sosial sebagai promosi kepada orang ramai.

Peniaga ikan Khadijah Md Shah, 45, berkata harga murah ikan kembung jenis pelaling bersaiz kecil itu bergantung pada hasil tangkapan yang diperolehi nelayan setiap hari.

 PENIAGA ikan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, menjual lambakan ikan kembung yang diperolehi dari nelayan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
PENIAGA ikan di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, menjual lambakan ikan kembung yang diperolehi dari nelayan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Menurutnya, terdapat lebih 20 peniaga menjual ikan kembung segar pada sebelah pagi dan petang di kawasan itu.

Katanya, disebabkan hasil tangkapan ikan banyak, dia turut mempromosikannya melalui Facebook supaya orang datang membeli ikan segar.

“Adakalanya peniaga tak sempat nak letak ikan atas rak jualan, namun pelanggan sudah tunggu sebab harganya murah.

“Walaupun ikan bersaiz kecil, namun kebanyakan peniaga kedai makan atau laksa lebih gemar membeli ikan ini kerana lebih lemak dan manis,” katanya.

Sementara itu, nelayan, Ahmad Hashim, 74, berkata nelayan mampu memperoleh hasil tangkapan mencecah 50 hingga 400 kilogram setiap hari bergantung pada cuaca.

“Sekarang ni musim ikan banyak, kami turun ke laut pun tak lama, dalam enam jam pun dah mampu bawa balik hasil yang banyak.

“Harga pula antara RM3.50 hingga RM5 satu kilogram, dan kalau banyak ikan, kami jual dua atau empat kilogram RM10 dan tak tentu setiap hari,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 3:37 PM