PELANGGAN membeli ikan kembung pada harga murah berikutan lambakan ikan di pasaran sejak semalam di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah. Gambar kecil,  Melati. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
PELANGGAN membeli ikan kembung pada harga murah berikutan lambakan ikan di pasaran sejak semalam di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah. Gambar kecil, Melati. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


HARGA ikan kembung menurun sehingga RM3 hingga RM4 sekilogram berikutan perubahan monsun barat daya yang memberi hasil tangkapan banyak.

Berikutan itu, lebih 400 nelayan di pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah tidak melepaskan peluang turun ke laut untuk membawa hasil tangkapan untuk memperoleh keuntungan pada Ramadan ini.

Tinjauan di pelantar ikan di kawasan itu hari ini mendapati ramai pelanggan dari Yan dan Sungai Petani datang membeli ikan untuk mendapatkan ikan segar dan murah.

Nelayan, Mohd Nazri Sulaiman, 35, berkata, nelayan pantai di pelantar itu turun ke laut sejak awal pagi untuk menangkap ikan sejauh kira-kira 20 batu nautika dari Kuala Kedah ke Pulau Payar, Langkawi berikutan hasil tangkapan yang banyak sekarang ini.

Katanya, setiap bot mampu membawa pulang sekurang-kurangnya 200kg ikan kembung yang menjadi pilihan pelanggan setiap hari disebabkan harganya turun sejak semalam.

“Ia memberi rezeki kepada kami untuk mengumpul wang bagi menyara keluarga selain persiapan untuk menyambut Aidilfitri nanti.

“Namun hasil tangkapan ini tidak menentu dan kami tak tahu sama ada esok atau lusa akan membawa pulangan ikan seperti hari ini kerana ia bergantung pada keadaan cuaca,” katanya ketika ditemui hari ini.

Peniaga ikan, Melati Ladon, 35, berkata, pelanggan boleh datang membeli ikan kembung pada harga murah hari ini kerana esok mungkin harganya lain atau lebih murah berbanding hari ini kerana bergantung pada hasil tangkapan nelayan.

Katanya, pelanggan menunggu di pelantar ikan seawal 7 pagi untuk mendapatkan ikan segar pada harga murah berbanding harga pasaran luar.

“Kami jual ikan di sini dengan harga terus dari pelantar tanpa melalui peraih dan disebabkan itu ikan di pasar basah agak mahal iaitu RM7 hingga RM8 sekilo berbanding di sini.

“Bagaimanapun harga ikan untuk Aidilfitri nanti mungkin tidak sama seperti hari ini kerana ia bergantung pada keadaan semasa dan cuaca,” katanya.

Melati berkata, biasanya ikan di pelantar itu habis dijual sehingga 7 malam setiap hari pada Ramadan ini.

Peniaga lain, Khalijah Md Shah, 41, berkata, selain ikan kembung, ikan lain seperti tenggiri dan kerisi yang diperoleh nelayan dijual pada harga murah kepada pelanggan bergantung pada tangkapan.

Katanya, kalau ikan melambak dan masih belum habis terjual, peniaga biasanya akan menurunkan harga ikan menjadi RM10 untuk empat kilogram ikan kembung.

“Setakat ini, tiada pelanggan merungut harga ikan di sini mahal, namun adakalanya mereka keliru kerana harga tak sama dengan semalam dan hari ini.

“Ini berikutan mereka tidak tahu yang kami hanya menjual pada harga bergantung pada hasil tangkapan," katanya.

    

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 10:19 PM