Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Orang ramai berpeluang melihat secara dekat aset pertahanan dan keselamatan apabila Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) mula dibuka kepada orang awam, hari ini.

Tinjauan mendapati, Jalan Padang Matsirat sesak teruk sepanjang kira-kira lima kilometer seawal jam 8 pagi, manakala orang ramai beratur panjang untuk mendapatkan tiket masuk di kaunter pendaftaran.

Bagi segmen udara yang berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), bayaran masuk adalah RM35 dan segmen maritim di Resort World Langkawi (RWL) adalah percuma.

Masuk juga adalah percuma untuk pengunjung bawah 16 tahun, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.

Pertunjukan udara membabitkan 60 pesawat dari pelbagai negara dijadual diadakan dua kali iaitu pada jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan jam 2.30 petang hingga jam 4.30 petang.

Pameran statik membabitkan 119 pesawat di landasan kapal terbang pula dibuka mulai jam 9 pagi hingga jam 4 petang manakala dewan pameran yang mempamerkan pelbagai produk pertahanan dalam MIEC daripada jam 10 pagi hingga jam 5.30 petang.

Lima pasukan aerobatik terbabit dalam persembahan.

Ia membabitkan 'Russian Knights' dengan pesawat Sukhoi SU-30SM, 'Black Eagle' dari Korea dengan pesawat KAI-T50B, 'Jupiter', Indonesia dengan pesawat KT-1B Woong Bee, 'Al-Fursan' (Emiriah Arab Bersatu, Aermacchi MB339A) dan 'August 1st' (China, Chengdu J-10)

Turut beraksi dalam pertunjukan udara adalah pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti SU30-MKM dan F/A-18D Hornet.

Bagi segmen maritim, 40 aset dipamerkan selain demonstrasi bot.

 Orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan tiket masuk untuk menyaksikan segmen aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Orang ramai beratur panjang bagi mendapatkan tiket masuk untuk menyaksikan segmen aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 11:34 AM