BERNAMA

Langkawi: Malaysia komited untuk meningkatkan keupayaan dalam industri pertahanan melalui kerjasama serantau.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini penting ke arah merealisasikan matlamat negara seperti ditetapkan dalam pelan tindakan industri pertahanan dan keselamatan yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

"Pelan tindakan ini, termasuk visi kita untuk Malaysia, adalah bagi menyumbang ke arah keselamatan global melalui pengeluaran perkakasan dan teknologi," katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan resepsi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23) di sini malam ini.

MOHAMAD (kiri) dan Loke melakukan gimik perasmian pada majlis pelancaran dan resepsi LIMA '23. FOTO Aswadi Alias.
MOHAMAD (kiri) dan Loke melakukan gimik perasmian pada majlis pelancaran dan resepsi LIMA '23. FOTO Aswadi Alias.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Mengenai LIMA'23, Mohamad berkata penganjurannya menjadi antara acara yang paling dinanti-nantikan dalam kalendar pertunjukan pertahanan bukan sahaja oleh pemain industri tetapi juga orang ramai.

Beliau berkata acara yang mencuri tumpuan dan menggamit imaginasi ramai ialah pertunjukan udara selain 41 kapal dari 13 negara yang bakal dipamerkan di Resorts World Langkawi.

"Pengunjung pameran tahun ini akan dapat melihat dengan lebih dekat kapal terbabit bukan hanya di jeti tetapi juga yang berlabuh di tengah laut.

"Kesemua ini mengukuhkan lagi reputasi LIMA sebagai antara pertunjukan udara dan kapal tentera laut yang terkemuka di dunia. Secara keseluruhan, kita menjangkakan lebih 45,000 pelawat perdagangan dan sejumlah 250,000 pengunjung awam," katanya.

DEMONSTRASI segmen maritim yang membabitkan enam agensi pada Pameran Udara Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA '23) di Resort World Langkawi.  FOTO Asyraf Hamzah
DEMONSTRASI segmen maritim yang membabitkan enam agensi pada Pameran Udara Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA '23) di Resort World Langkawi. FOTO Asyraf Hamzah

Mohamad berkata dengan penganjuran LIMA yang terbesar setakat ini, beliau agak teruja untuk menyaksikan bagaimana kerjasama dapat dijalin dalam menjaga keselamatan serantau.

"Dalam tempoh lima hari akan datang, saya dan rakan sejawat akan mengadakan mesyuarat dua hala yang juga satu pencapaian positif untuk mempromosi masa depan lebih kukuh, stabil serta mampan. Bersama-sama, kita mampu mengukuhkan lagi kerjasama pihak berkepentingan dalam industri pertahanan," katanya.

LIMA'23 disertai lebih 525 pempamer termasuk 140 syarikat dalam industri pertahanan, 101 syarikat dalam sektor komersial dan 284 syarikat daripada kedua-dua sektor.

Acara itu turut menyaksikan 18 negara mewujudkan pavilion termasuk Australia, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Belanda, Korea Selatan, Türkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.

PERTUNJUKAN Pertunjukan udara oleh pasukan Fursan Al Emarat dari UAE pada sesi latihan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, Malaysia. FOTO Aswadi Alias.
PERTUNJUKAN Pertunjukan udara oleh pasukan Fursan Al Emarat dari UAE pada sesi latihan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi, Malaysia. FOTO Aswadi Alias.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 11:15 PM