M Hifzuddin Ikhsan

Langkawi: Penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa dan maritim, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, ini selepas Malaysia dilihat turut memainkan peranan penting kepada pertumbuhan industri aeroangkasa dan maritim global yang dinilai mencecah lebih RM1.3 trilion pada 2021.

Jelasnya, keupayaan negara dibuktikan apabila LIMA '23 yang masuk kali ke-16 penganjurannya, bukan menjadi pameran ketenteraan semata-mata, sebaliknya turut berjaya menarik minat pihak antarabangsa untuk menyertainya.

"Sebagai Perdana Menteri, saya berbangga mengatakan bahawa Malaysia berjaya memainkan peranan penting kepada pertumbuhan global dalam industri aeroangkasa dan marin.

"LIMA '23 bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau kepada industri aeroangkasa dan maritim apabila berjaya mengumpulkan pelbagai pihak yang terbabit dalam industri berkenaan.

"Semua yang dilakukan ini diharap dapat membantu negara mempercepatkan usaha merealisasikan semua rancangan dalam Blueprint Industri Aeroangkasa Malaysia dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia," katanya pada ucaptama LIMA '23 di Dewan Pameran Antarabangsa Langkawi (MIEC) di sini, hari ini.

Sebahagian orang ramai hadir pada segmen maritim Pameran Udara Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA '23) di Resort World Langkawi. FOTO ASWADI ALIAS
Sebahagian orang ramai hadir pada segmen maritim Pameran Udara Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA '23) di Resort World Langkawi. FOTO ASWADI ALIAS

Terdahulu beliau bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa meninjau dan menerima taklimat daripada pempamer industri pertahanan aeroangkasa dan maritim yang menyertai LIMA '23.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sejak penganjuran kali pertamanya pada 1991, LIMA '23 kini berjaya berkembang menjadi pameran utama bagi industri aeroangkasa dan maritim di rantau Asia Pasifik.

Katanya, keunikan LIMA '23 adalah terletak kepada gabungan pempamer yang juga pemain utama dalam sektor aeroangkasa dan maritim global.

"Apa yang bermula sebagai pameran pertahanan berubah menjadi tarikan apabila 40 peratus elemen komersial turut dimasukkan ke dalam LIMA sejak 2019 bagi menarik negara, pemain industri, pasukan keselamatan menyertainya.

"LIMA '23 menyaksikan penyertaan terbesar sejak penganjurannya diadakan, apabila berjaya menarik penyertaan 600 pempamer, 45,000 pelawat komersial dan 450 individu kenamaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 4:08 PM