PASUKAN aerobatik Fursan Al Emarat dari UAE beraksi pada Pameran Maritim dan LIMA'23 di MIEC hari ini. FOTO Bernama
PASUKAN aerobatik Fursan Al Emarat dari UAE beraksi pada Pameran Maritim dan LIMA'23 di MIEC hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Langkawi: Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) disaran untuk menambah keluasan ruang dewan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, bagi memenuhi keperluan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) akan datang.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu bagi membolehkan lebih banyak negara dan syarikat asing dapat mengambil bahagian dalam LIMA 2025 dan menyatakan penyertaan sebagai pempamer.

"Tahun ini banyak syarikat besar menyatakan hasrat datang ke LIMA '23. Walaupun kita bagi notis awal, ramai yang datang dekat kita pada saat-saat akhir nyatakan nak bersama LIMA '23 tetapi tidak dapat tempatkan mereka kerana ketiadaan tempat yang cukup untuk mereka ambil bahagian.

"Kita perlukan dewan yang lebih besar, kalau boleh LADA sambung dan besarkan dewan MIEC ini untuk beri kemudahan kepada LIMA 2025 bagi kita penuhi hasrat banyak syarikat terutama dari luar negara untuk ambil bahagian," katanya pada sidang media selepas majlis penutup LIMA '23 di MIEC hari ini.

Beliau juga bercadang meletakkan pameran segmen aeroangkasa dan maritim bagi LIMA akan datang di satu lokasi sahaja bagi memudahkan pengunjung, terutama rakyat Malaysia untuk melihat aset ketenteraan daripada dua sektor itu.

LIMA '23 diadakan di dua lokasi iaitu MIEC bagi segmen aeroangkasa, manakala segmen maritim diadakan di Resort World Langkawi.

"Kita mahu letakkan semua dalam satu bumbung supaya pengunjung tak susah nak datang sini dan mereka boleh selesai (melihat pameran) di sini supaya memudahkan dan memberi kesenangan kepada pengunjung datang ke satu tempat (sahaja)," katanya.

Ditanya berkaitan impak LIMA '23 kepada rakyat tempatan, Mohamad berkata, beliau terpegun melihat keterujaan anak kecil dan golongan muda yang hadir pada pameran dwitahunan itu menyatakan hasrat untuk menjadi juruterbang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Memang memeranjatkan saya, ramai anak-anak saya jumpa di sini kata nak jadi juruterbang, saya harap LIMA '23 ini bukan beri kesan kepada perniagaan sahaja tetapi juga kepada pembangunan bakat anak muda...ada datang dari Sabah, Johor bersama keluarga nyatakan minat jadi juruterbang.

"Ini jadi ruang dan medan kepada anak muda kita melihat kerjaya dalam tentera udara, tentera laut dan tentera darat untuk tambah minat anak-anak rakyat Malaysia menyertai ATM," katanya.

Mohamad juga berkata, 43 urus niaga bernilai RM10.128 bilion semasa LIMA '23 dimuktamadkan yang membabitkan pemain industri pertahanan termasuk 20 dokumen kontrak, 21 Surat Setuju Terima (LoA) dan dua Surat Niat (LoI).

Berkaitan kemasukan orang awam ke LIMA '23, beliau berkata, 250,000 pengunjung menghadiri lokasi pameran aeroangkasa dan maritim itu pada dua hari terakhir acara yang dibuka kepada umum.

LIMA '23 bermula pada Selasa lalu. Bagi segmen aeroangkasa, ia hanya untuk pengunjung perdagangan hingga Khamis dan dibuka kepada umum bermula semalam, manakala segmen maritim dibuka kepada orang awam sejak hari pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 1:37 PM