KENDERAAN melintasi papan tanda gergasi LIMA'19 yang di pasang di bulatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. FOTO Hamzah Osman
KENDERAAN melintasi papan tanda gergasi LIMA'19 yang di pasang di bulatan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


PERSIAPAN Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19), diperhebatkan menjelang hari pembukaannya, 26 Mac ini.

Berbaki lapan hari lagi, persiapan logistik sudah siap diatur oleh penganjur, EN Project (M) Sdn Bhd dengan gabungan dan kerjasama pelbagai agensi serta jabatan kerajaan tempatan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Mohamed Asri Redha Abdul Rahman berkata, LADA selaku Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kebersihan LIMA’19, dipertanggungjawabkan memantau pelbagai persiapan terakhir itu.

Katanya, tugas itu dipikul sebaiknya bagi memastikan acara negara itu berjalan lancar.

“LADA menjadi penyelaras kepada pelbagai agensi kerajaan dan swasta tempatan untuk memastikan tahap kebersihan serta kemudahan awam dalam keadaan baik.

“Antara agensi yang terbabit dalam jawatankuasa ini ialah Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Pejabat Tanah dan Daerah Langkawi, Jabatan Kerja Raya dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang bakal menjadi tumpuan ramai untuk menyaksikan pameran aeroangkasa sudah bersedia menerima tetamu.

“Kerja penyelenggaraan dan baik pulih beberapa kerosakan di MIEC yang juga bawah kendalian LADA sudah dilakukan oleh kontraktor dilantik.

“Kebiasaannya, seminggu sebelum pembukaan rasmi pameran itu, pelbagai syarikat pempamer dari dalam dan luar negeri bertali arus masuk ke pulau ini,” katanya.

Pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di Asia Pasifik itu akan diadakan di MIEC untuk segmen aeroangkasa dan Resort World Langkawi (segmen maritim) dengan tema ‘Jaringan Kecerdasan Pertahanan dan Perdagangan Komersil’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 8:29 AM