Pengagihan sayuran percuma membantu golongan B40.  FOTO Ihsan Datuk Dr Kannan Raman
Pengagihan sayuran percuma membantu golongan B40. FOTO Ihsan Datuk Dr Kannan Raman
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Bagi meringankan beban golongan B40 yang tinggal di sekitar bandar di Selangor, dua badan bukan kerajaan (NGO) mengambil inisiatif mengagihkan sayuran percuma hampir setiap bulan.

Usaha itu dilakukan Persatuan Pembangunan Masyarakat dan Alam Selangor (Hands) bersama Persatuan Kemasyarakatan BSM Pacuan Empat Roda (Bantu).

Presiden Hands Datuk Dr Kannan Raman berkata, pihaknya mendapatkan sumbangan sayuran itu daripada beberapa sumber termasuk peniaga pasar borong yang mana ia juga diberikan secara percuma.

Menurutnya, pihaknya menyediakan sebuah lori tiga tan dan tenaga kerja yang juga sukarelawan Hands untuk menyelaras pengagihan itu dengan menyasarkan B40 yang tinggal di flat kos rendah.

"Pengagihan sayuran percuma biasanya dilakukan seminggu dua kali, namun ia bergantung kepada bekalan barangan itu juga.

"Kami menyediakan sebanyak tiga tan sayuran dengan hampir 20 jenis pilihan seperti sawi, timun, tomato, kangkung serta petola.

"Sebenarnya kami sudah melakukan inisiatif sama sejak 15 tahun lalu namun usaha itu semakin kerap dilakukan sejak dua tahun lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

KANNAN (tengah) ketika pengagihan sayuran percuma membantu penduduk. FOTO Ihsan Datuk Dr Kannan Raman
KANNAN (tengah) ketika pengagihan sayuran percuma membantu penduduk. FOTO Ihsan Datuk Dr Kannan Raman

Katanya, pihaknya akan memilih sebuah kawasan flat yang mana lokasinya berada di tengah-tengah supaya memudahkan penduduk sekitar di kawasan lain juga dapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.

"Sayuran adalah antara keperluan harian rakyat dan dengan usaha ini ia dapat membantu meringankan beban serta belanja dapur mereka. Walaupun sayuran itu percuma tetapi kualitinya tetap baik dan segar.

"Daripada sini juga Hands memberikan bantuan tambahan iaitu keperluan asas seperti beras dan sebagainya jika ada keperluan dan ia akan dihantar ke rumah mereka," katanya.

Beliau berkata, usaha itu mendapat banyak permintaan di luar Selangor seperti Kuala Lumpur dan Johor, namun setakat ini ia tidak dapat dilakukan atas beberapa faktor.

"Kami berharap dapat meneruskan usaha ini sehingga ke masa akan datang. Saya menyarankan NGO lain juga boleh melakukan usaha sama di tempat mereka untuk membantu golongan memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 5:39 PM