USAHA kecil keluarga Siti Noranis menyediakan tandas percuma kepada pengguna jalan raya yang ‘tersangkut’ dalam kesesakan di Kampung Beris Tokku mendapat perhatian kerana usaha murni itu memberi nilai besar kepada orang lain. FOTO Ihsan Siti Noranis Sakarnor
USAHA kecil keluarga Siti Noranis menyediakan tandas percuma kepada pengguna jalan raya yang ‘tersangkut’ dalam kesesakan di Kampung Beris Tokku mendapat perhatian kerana usaha murni itu memberi nilai besar kepada orang lain. FOTO Ihsan Siti Noranis Sakarnor
Noor Hidayah Tanzizi

Setiu: Inisiatif keluarga ini menyediakan tandas percuma untuk mereka yang 'tersangkut' dalam kesesakan lalu lintas mendapat perhatian kerana usaha murni itu memberi nilai besar kepada orang lain.

Ia dibuktikan keluarga Siti Noranis Sakarnor, 21, apabila menyediakan dua tandas di rumahnya di Kampung Beris Tokku, di sini, untuk orang ramai bermula 4 petang hingga 9 malam kelmarin.

Bukan hanya tandas, malah keluarga itu juga menyediakan ruang solat selain memberikan air panas kepada pengguna jalan raya yang mahu membancuh susu anak.

Perkongsian Siti Noranis di TikTok mendapat perhatian netizen yang memuji usaha dilakukan keluarganya demi kemudahan pengguna jalan raya yang dalam perjalanan pulang dari kampung halaman selepas menyambut Aidilfitri.

Guru Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) itu berkata, usaha berkenaan sudah dilakukan sejak tahun lalu kerana jalan di hadapan rumahnya adalah laluan alternatif bagi mengelak kesesakan.

"Kesesakan jalan membuatkan kereta tak bergerak dan situasi itu berlaku ketika musim perayaan. Kami pernah melalui pengalaman sama, jadi faham mesti ada yang tidak dapat menahan jika mahu membuang air kecil atau besar.

"Sebab itu keluarga kami sediakan kemudahan tandas tanpa meminta bayaran kerana kami hanya mahu membantu, lagi pun tandas di rumah ada tiga jadi dua tandas kami beri mereka guna selain turut menyediakan tempat solat," katanya.

Katanya, ramai yang menggunakan kemudahan tandas itu hingga ada pengguna mahu memberikan wang dan menganggap ia sebagai duit raya.

"Niat kami ikhlas untuk membantu dan kami gembira dapat membantu dengan usaha ini. Bagi saya mungkin ketika ini kami bantu orang, bila kami pula perlukan bantuan, orang pula akan bantu," katanya.

Menurut Siti Noranis, dia berkongsi video di TikTok untuk dijadikan kenangan Aidilfitri dan berharap perkongsian itu dapat menyampaikan mesej positif kepada orang lain untuk membantu dalam apa jua situasi.

"Beberapa rumah lain juga melakukan perkara sama seperti menyediakan air untuk pengguna jalan raya dan insya-Allah, usaha keluarga kami ini akan diteruskan mengikut keperluan dan situasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 1:01 PM