PENDUDUK mendaftar bagi mendapatkan rawatan sempena program saringan kesihatan secara percuma.
PENDUDUK mendaftar bagi mendapatkan rawatan sempena program saringan kesihatan secara percuma.
PERSATUAN Jururawat Sukarelawan Malaysia (MVNA) dalam program saringan kesihatan percuma miskin bandar di Pangsapuri Taman Sutera, Kajang minggu lalu.
PERSATUAN Jururawat Sukarelawan Malaysia (MVNA) dalam program saringan kesihatan percuma miskin bandar di Pangsapuri Taman Sutera, Kajang minggu lalu.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Menyedari masih ramai masyarakat kurang kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan, Persatuan Jururawat Sukarelawan Malaysia (MVNA) merangka lima program saringan kesihatan secara percuma sepanjang tahun ini.

Presiden MVNA, Rozainah Mat Yusoff berkata, program kerjasama Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia
dan Pfizer Malaysia itu memfokuskan golongan miskin bandar yang menetap di projek perumahan rakyat (PPR), kawasan flat dan pangsapuri kos rendah di Lembah Klang.

“Melalui pengalaman saya, kebanyakan penduduk bandar terutama miskin bandar tidak melakukan pemeriksaan kesihatan kerana kekangan masa selain masalah kewangan dan pengangkutan.

“Walaupun kemudahan disediakan kerajaan adalah percuma dan dikenakan bayaran minimum, ramai enggan membuat pemeriksaan kesihatan kerana tidak mahu beratur menunggu giliran.

“Jika ke swasta pula, mereka tidak mampu kerana akan dikenakan bayaran mahal,” katanya.

Berikutan itu, katanya, mereka mengambil inisiatif berkenaan bagi membantu dan memberi kesedaran kepada golongan miskin bandar mengenai kepentingan saringan kesihatan.

“Perkhidmatan yang kami tawarkan ialah pemeriksaan mata, tekanan darah tinggi, kolesterol, kandungan gula dalam darah, kesihatan tulang, paru-paru, payudara dan keseimbangan tinggi serta berat badan.

“Kita juga membuat pemeriksaan tumbesaran kepada kanak-kanak, pemberian ubat cacing, ubat kutu dan vitamin. Pada masa sama, kita memberi pendidikan kesihatan dan nasihat berkaitan penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat,” katanya.

Menurutnya, program siri pertama berlangsung di Pangsapuri Taman Sutera, Kajang, Selangor, minggu lalu, mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk setempat.

“Dalam tempoh tiga jam saja, kami berjaya membuat pemeriksaan ke atas kira-kira 200 penduduk. Majoriti daripada mereka dikesan mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 April 2018 @ 8:00 AM