Sukarelawan AIXIN memberi sayur-sayuran secara percuma kepada penduduk di Flat Cengal di Kulai.
Sukarelawan AIXIN memberi sayur-sayuran secara percuma kepada penduduk di Flat Cengal di Kulai.
Mary Victoria Dass

Kulai: Lebih 100 keluarga berpendapatan rendah di sekitar daerah ini mendapat sayur-sayuran secara percuma setiap minggu yang disumbangkan Persatuan Kebajikan Kasih Sayang (AIXIN) dalam usaha membantu golongan berkenaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pengasasnya, Datin Nicole Fam Yuen Lee berkata, inisiatif berkenaan dimulakan sejak dua tahun lalu di beberapa kawasan rumah flat di sekitar Kulai yang dihuni golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, sumbangan lebih 10 jenis sayur diagihkan tiga kali seminggu iaitu Isnin, Selasa dan Khamis yang bekalannya diperoleh dari kebun sayur seorang ahli persatuan berkenaan di Kulai.

“Idea bagi mengagihkan sayuran ini timbul apabila saya melawat kebun sayur berkenaan dan meminta kebenaran daripada pengusahanya untuk menyumbang kepada golongan memerlukan. Kebanyakan keluarga tidak dapat menjamah sayuran kerana mahu berjimat berikutan kos sara hidup meningkat,” katanya.

Nicole berkata, AIXIN yang ditubuhkan sejak Mei 2015 menjalankan usaha mengumpul bekalan sayuran itu dan diagihkan kepada penduduk menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik ahlinya.

Kebiasaannya, ia membabitkan dua ahli atau lebih daripada itu bagi mengurus kerja berkenaan pada waktu petang dan mengambil masa selama sejam untuk membuat kerja amal itu.

“Mereka yang ingin mendapatkan bekalan sayuran percuma hanya perlu membawa beg plastik dan prosesnya tidak sampai lima minit.

“Tiada syarat dikenakan bagi mendapatkan sumbangan itu dan ia juga untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika ditemui di Flat Cengal di Kulai, kelmarin.

Sementara itu, penduduk, Fauziah Mohd Elah, 42, tidak melepaskan peluang mendapatkan bekalan sayuran percuma itu hampir setiap minggu.

Menurutnya, antara sayur diagihkan ialah kacang panjang, labu air, kubis, sawi dan terung.

“Sekiranya beli di pasar atau kedai, kosnya boleh mencecah lebih RM15. Bagi keluarga berpendapatan rendah seperti kami, sumbangan itu amat bermakna dan membolehkan anak mendapat makanan berkhasiat,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Maimon Markah, 65, bersyukur dengan sumbangan berkenaan kerana dapat mengurangkan perbelanjaan harian.

“Aktiviti amal itu patut diteruskan dan menjadi contoh kepada pihak lain dalam membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

“Lebih membanggakan, penerima sumbangan tidak hanya kepada kaum tertentu, tetapi ia diagihkan tanpa mengenal perbezaan agama dan kepercayaan. Ini amat bagus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 9:07 AM